KUALA LUMPUR 16 Okt - Gangguan bekalan elektrik yang melanda Lembah Klang dan Johor semalam, mengukuhkan lagi keperluan bagi memulakan kitaran perbelanjaan modal (capex) baharu dalam sektor tenaga, kata CGS International.
Katanya, insiden tersebut menonjolkan tekanan yang semakin meningkat terhadap sistem tenaga negara di tengah-tengah peningkatan pemintaan elektrik serta margin rizab yang semakin mencabar.
Firma penyelidikan itu berkata, kejadian itu juga mendedahkan kelemahan dalam infrastruktur tenaga dan grid negara.
“Walaupun sentimen jangka pendek mungkin terjejas, kami melihat insiden ini sebenarnya mengukuhkan, bukan melemahkan keperluan bagi pelaburan grid terkawal TNB (Tenaga Nasional Berhad),” katanya dalam satu nota kajian.
CGS International menjelaskan, gangguan berkenaan berpunca daripada loji jana kuasa Edra Melaka CCGT, namun pada masa sama, penutupan tidak dirancang di loji arang batu Tanjung Bin Energy berkapasiti 1,000MW di Johor memburukkan lagi tekanan terhadap rangkaian penghantaran dan pengagihan (T&D).
“Kami menganggarkan kedua-dua loji ini menyumbang kira-kira 13% daripada jumlah kapasiti penjanaan terpasang di Semenanjung Malaysia, sekali gus menyerlahkan margin rizab yang agak terhad dalam sistem,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan mendadak dalam kelulusan pelaburan langsung asing (FDI), terutamanya dalam sektor elektronik dan elektrik (E&E) serta pusat data yang menggunakan tenaga tinggi, Malaysia kini berdepan risiko terhadap kelemahan sistem tenaga.
Bagi menangani cabaran itu, pembangunan kapasiti penjanaan tenaga baharu dan penaiktarafan grid perlu dipercepatkan bagi mengukuhkan ketahanan serta kebolehpercayaan sistem, katanya.
Insiden tersebut juga mengukuhkan keperluan bagi TNB melaksanakan perbelanjaan modal bersyarat (contingent capex) sebanyak RM16.3 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4).
Pelaburan CCGT itu penting bukan sahaja untuk memenuhi keperluan kebolehpercayaan jangka pendek, tetapi juga bagi menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui (RE), sejajar dengan agenda peralihan tenaga Malaysia.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan “tambah” ke atas saham TNB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM18 sesaham. - DagangNews.com








