KUALA LUMPUR 23 Jan - Gamuda Land dengan kerjasama syarikat penjagaan warga emas dan hospitaliti, Meaningfull Life, memperkenalkan sebuah rumah kelab warga emas, The Meaningfull Clubhouse, yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang dibina di Quayside Plaza dalam kawasan perbandaran twentyfive7, Kota Kemuning, Selangor.
Bakal dibuka pada Mac 2025, rumah kelab itu merupakan model penjagaan warga emas yang bersepadu dalam perbandaran pelbagai generasi, dengan tujuan menyediakan persekitaran yang menyokong gaya hidup aktif dan kesejahteraan bagi warga emas.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Gamuda Land untuk mencipta komuniti yang lestari dan menyeluruh, yang berkembang mengikut keperluan penduduknya, khususnya bagi golongan warga emas yang semakin meningkat di Malaysia.
Rumah kelab tersebut menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan penjagaan warga emas yang lebih mampu milik dan fleksibel berbanding model penjagaan tradisional.
The Meaningfull Clubhouse bukan sahaja menawarkan perkhidmatan penjagaan asas, tetapi turut menyediakan pelbagai aktiviti dan kemudahan untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk bengkel kerja kayu, permainan pickleball, serta program sosial yang menggalakkan interaksi dan mengurangkan rasa kesunyian.
Warga emas juga boleh menikmati makanan yang disediakan oleh pakar pemakanan dari Meaningfull Life, yang bekerjasama dengan penyewa F&B di Quayside Mall untuk memastikan makanan yang disediakan memenuhi keperluan diet mereka.
Selain itu, Gamuda Clinic akan turut memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan perubatan berkualiti kepada penghuni rumah kelab berkenaan, memastikan akses kepada penjagaan kesihatan yang mudah dan pantas.
Aktiviti-aktiviti yang disusun oleh ahli fisioterapi dan psikologi juga akan memberi tumpuan kepada kesejahteraan fizikal dan mental, dengan tujuan menggalakkan pergerakan, rangsangan mental, serta meningkatkan kesihatan keseluruhan warga emas.
Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Wong Siew Lee berkata, pihaknya mahu mencipta sebuah ekosistem berorientasikan keluarga yang dapat menyokong setiap generasi, daripada kanak-kanak hingga warga emas untuk hidup bersama dalam satu komuniti yang harmoni dan sejahtera.
"The Meaningfull Clubhouse dibina berhampiran kemudahan sedia ada di twentyfive7 seperti taman rekreasi, kemudahan sukan dan kedai runcit, menjadikannya sebuah kawasan yang sempurna untuk gaya hidup aktif dan penjagaan warga emas yang berkualiti," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Meaningfull Life, Anna Chew pula berkata, kerjasama itu lebih daripada sekadar penjagaan, sebaliknya bertujuan untuk mewujudkan peluang bagi warga emas untuk berkembang, terlibat dalam aktiviti bermakna dan kekal berhubung dengan keluarga serta komuniti mereka.
Sebelum ini, warga emas ditempatkan di rumah-rumah penjagaan dengan kemudahan dan perkhidmatan yang terhad.
Model inovatif terbaharu itu memanfaatkan kemudahan yang luas dalam kawasan perbandaran termasuk taman, kedai runcit dan kemudahan perubatan yang digabungkan dengan perkhidmatan profesional yang disediakan oleh Meaningfull Life dan Gamuda Clinic.
Ia membolehkan warga emas menikmati gaya hidup berkualiti, menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, sambil kekal sihat di bawah penjagaan pakar.
Dengan menyepadukan penjagaan warga emas ke dalam ekosistem kawasan perbandaran, model berkenaan menjadikannya lebih mampu milik, fleksibel dan mudah dikunjungi oleh keluarga. - DagangNews.com








