Gamuda diyakini pulih, kekal kukuh susulan keputusan 1QFY26 lebih perlahan - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda diyakini pulih, kekal kukuh susulan keputusan 1QFY26 lebih perlahan - penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 DisGamuda Berhad terus muncul sebagai antara pilihan utama sektor pembinaan apabila dua firma penyelidikan mengekalkan unjuran positif terhadap prestasi kumpulan tersebut.


Meskipun keputusan pada suku pertama tahun kewangan 2026 didapati datang lebih perlahan, situasi berkenaan disebabkan faktor masa pengiktirafan ke atas pelbagai projek yang sedang dilaksanakan.


Mereka menjangkakan pemulihan momentum ketara dalam suku akan datang didorong oleh sumbangan lebih besar projek domestik, kemenangan kontrak luar negara, serta peningkatan jualan hartanah stabil.


CGS International menilai keputusan 1QFY26 sebagai sederhana tetapi selari jangkaan, dengan untung bersih teras sebanyak RM213 juta, masih menyumbang 15% daripada unjuran setahun penuh firma itu.


"Kelembapan pendapatan suku itu berpunca akibat projek infrastruktur Australia yang menghampiri penamat, dan 70% projek luar negara masih di fasa awal," menurut firma tersebut dalam notanya.


Bagaimanapun, bahagian hartanah Gamuda menunjukkan margin lebih kukuh iaitu 10.1% berbanding 8.5% sebelumnya, didorong projek Eaton Park yang habis dijual, serta prajualan hartanah pula meningkat.


Kata CGSI, ia bertambah kira-kira 34% tahun ke tahun (YoY) kepada RM846 juta, meletakkan kumpulan pembinaan tersebut berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran sebanyak RM5.5 bilion pada FY26.


Hasil pembinaan susut hanya 1% YoY kepada RM3.1 bilion, tetapi projek tempatan naik 53% YoY, kini menyumbang 41% daripada pendapatan, dan menjangkakan margin bersih terus pulih sepanjang FY26.


"Setakat Oktober 2025, Gamuda ada buku tempahan RM37 bilion, di bawah sasaran akhir tahun iaitu RM40 bilion, tetapi beberapa tender besar luar negara dijangka mencukupkan sasaran itu," katanya.


CGSI turut mengekalkan sasaran kadar pertumbuhan hasil purata tahunan 30% sehingga FY28, dengan mengulangi saranan 'tambah' dan harga sasaran (TP) RM7.30, yang bersandarkan penilaian pasaran.
 

Artikel berkaitan: Untung bersih Gamuda meningkat 5% kepada RM215 juta pada 1QFY26 disokong projek domestik, Vietnam


Sementara itu, MBSB Research turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gamuda dengan TP RM6.35, serta mengiktiraf kedudukan kumpulan sebagai peneraju sektor pembinaan dan kepelbagaian portfolio.


Ia menyatakan keuntungan teras 1QFY26 sebanyak RM215.1 juta (+4.7% yYoY) adalah sederhana, akibat kelewatan pengiktirafan projek luar negara, namun diimbangi peningkatan margin projek tempatan.


"Kami menekankan isu margin sebelum cukai untuk bahagian pembinaan melonjak kepada kira-kira 6.4, daripada 5.4% pada tahun lalu, disokong kemajuan kukuh banyak projek domestik," kata firma itu. 


Projek rel metro Sydney di Australia jelas MBSB Research, sudah hampir siap dengan mencapai 97%, dan penyumbangan luar negara dijangka naik apabila projek memasuki fasa kemajuan lebih tinggi.


Gamuda dijangka menerima beberapa keputusan tender utama sebelum 2025 di negara berkenaan dan firma itu menekankan rangkaian pelbagai projek pusat data (DC) pula didapati terus kekal kukuh.


Segmen Gamuda Land menyumbang RM860 juta hasil dengan tumpuan utama projek pusingan cepat (QTP) di Vietnam, dan jualan awal 1QFY26 menjana RM846 juta atau 15.4% daripada sasaran RM5.5 bilion.


"Gamuda dijangka mencapai paras gear 0.7 kali kerana pembelian tanah baharu di Ho Chi Minh City, namun dianggap sementara dengan aliran tunai projek Vietnam bermula FY27 hingga FY28," katanya.


Secara keseluruhan, MBSB Research menyifatkan walaupun prestasi suku pertama agak perlahan, tetapi unjuran lebih besar pada suku mendatang menerusi banyak projek mega. - DagangNews.com