KUALA LUMPUR 10 Dis – Gamuda Berhad mencatatkan keuntungan bersih suku pertama tahun kewangan 2026 sebanyak RM215 juta, meningkat 5% berbanding RM205 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, peningkatan itu disokong oleh sumbangan kukuh daripada projek pembinaan domestik dan projek dengan pulangan pantas (Quick Turnaround Projects - QTP) di Vietnam, terutamanya projek Eaton Park.
“Hasil Kumpulan bagi suku ini menurun 7% kepada RM3.91 bilion daripada RM4.19 bilion pada tahun lepas, disebabkan tiada pendapatan besar daripada projek hartanah di United Kingdom yang diiktiraf dalam satu pembayaran tunggal berdasarkan kaedah siap kerja pada suku yang sama tahun sebelumnya.
“Sekiranya ia dikecualikan dalam pengiraan ini, hasil suku meningkat 3%, dipacu oleh projek pembinaan domestik yang lebih kukuh serta QTP di Vietnam,” katanya dalam makluman tersebut.
Dalam segmen pembinaan, hasil bagi suku ini adalah RM3.06 bilion, hampir sama dengan RM3.09 bilion pada suku sama tahun lepas.
Keuntungan bersih segmen pembinaan meningkat 10% kepada RM155 juta, disebabkan prestasi lebih baik daripada projek domestik.
Dari segi geografi, projek pembinaan di Malaysia menyumbang RM1.26 bilion hasil dengan keuntungan bersih RM94 juta, manakala projek pembinaan di luar negara menyumbang RM1.79 bilion hasil dengan keuntungan bersih RM61 juta.
Bagi segmen hartanah, projek di Vietnam menyumbang RM465 juta hasil dan RM39 juta keuntungan bersih, manakala projek hartanah di Malaysia menyumbang RM394 juta hasil dengan keuntungan RM21 juta.
Berbanding suku terdahulu (Q4FY25), keuntungan suku pertama FY26 menurun 35% daripada RM332 juta, disebabkan sumbangan lebih rendah daripada projek hartanah.
Gamuda menjangka prestasi tahun kewangan 2026 akan didorong oleh projek pembinaan domestik yang baharu termasuk beberapa pusat data serta sumbangan lebih tinggi daripada projek QTP, khususnya Eaton Park di Vietnam yang mencatatkan jualan kukuh dengan margin lebih tinggi.
Baki kontrak pembinaan Kumpulan berjumlah RM37 bilion manakala jualan hartanah belum ditagih berjumlah RM8 bilion.
Segmen hartanah juga telah menambah tanah baru untuk menyokong portfolio QTP serta membangunkan projek sedia ada, sekali gus menaikkan nisbah hutang Kumpulan kepada 62% berbanding 53% tahun lepas.
Projek baharu yang dianugerahkan setakat tiga bulan pertama FY26 termasuk sistem penyimpanan bateri (BESS) untuk Goulburn River Solar Farm bernilai AUD140 juta (RM383 juta) yang akan menyokong tenaga bagi kira-kira 225,000 rumah dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 910,000 tan setahun.
Richmond Road Upgrade (M7 ke Townson Road) bernilai AUD170 juta (RM465 juta) di Sydney pula akan melibatkan pelebaran jalan, pembinaan laluan bertingkat flyover dan pengubahsuaian persimpangan utama bagi meningkatkan aliran trafik.
Selain itu, projek Sydney Water – Ryde Pump Station ke Wahroonga Reservoir bernilai AUD157 juta (RM428 juta) telah dianugerahkan dan melibatkan pemasangan lebih 10 km paip untuk menyokong sistem bekalan air kepada 1.6 juta penduduk di kawasan Sydney. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2028. - DagangNews.com








