Galatek Technologies buka kilang AI di Pulau Pinang, sasar pelaburan AS$100 juta dalam tempoh lima tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Galatek Technologies buka kilang AI di Pulau Pinang, sasar pelaburan AS$100 juta dalam tempoh lima tahun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun – Platform pelaburan serantau, Granite Asia bersama InvestPenang terus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

 

Kerjasama ini dizahirkan menerusi pembukaan kilang baharu oleh syarikat portfolio Granite Asia, Galatek Technologies iaitu penyedia global dalam teknologi automasi berasaskan AI, peralatan semikonduktor, elektronik termaju serta teknologi sains hayat dan tenaga mampan.

 

Granite Asia, yang menguruskan lebih AS$10 bilion aset di bawah pengurusan, berkata pelaburan di Pulau Pinang mencerminkan keyakinan terhadap pertumbuhan pesat industri semikonduktor dan teknologi pembuatan berasaskan AI di Asia.

 

Menurut Rakan Pengurusan Kanan Granite Asia, Jenny Lee, industri peralatan semikonduktor dan pembuatan pintar kini berada pada fasa perubahan besar di mana syarikat yang bersedia lebih awal akan menjadi peneraju utama dekad akan datang.

 

Beliau berkata, kelebihan Pulau Pinang dari segi warisan industri elektronik, tenaga kerja kejuruteraan mahir serta dasar mesra pelabur menjadikannya lokasi strategik untuk pengembangan Galatek di rantau Asia Tenggara.

 

“Kilang ini bukan sekadar pelaburan modal, tetapi satu isyarat jelas bahawa Galatek sedang bergerak ke arah menjadi syarikat bertaraf global dalam sektor teknologi tinggi,” katanya.

 

Majlis perasmian kilang tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menzahirkan sokongan terhadap pelaburan strategik itu dalam memperkukuh ekosistem industri berteknologi tinggi negeri.

 

t

 

Selepas majlis perasmian, turut diadakan sesi pertemuan antara pemain industri, pelabur dan agensi kerajaan bagi membincangkan peluang kerjasama serta pelaburan dalam sektor semikonduktor dan teknologi di Pulau Pinang.

 

Program itu menghimpunkan pelabur, pemain industri, pengasas syarikat teknologi serta pembuat dasar bagi membincangkan peluang dalam sektor pembuatan pintar dan rantaian bekalan semikonduktor di rantau ini.

 

Kilang baharu tersebut melibatkan pelaburan awal sekitar AS$2 juta, dengan sasaran berkembang kepada AS$60 juta dalam tempoh tiga tahun dan mencapai AS$100 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Pelaburan itu juga dijangka mewujudkan sehingga 100 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, selari dengan pengembangan operasi pembuatan dan pengeluaran di fasiliti berkenaan.

 

Ia akan berfungsi sebagai pusat pengeluaran dan penghantaran serantau bagi peralatan semikonduktor, elektronik termaju, sains hayat serta tenaga mampan untuk pasaran Asia Tenggara dan pasaran antarabangsa.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian berkata kerjasama dengan Granite Asia melalui program tersebut memberi platform penting untuk menghubungkan syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC design), syarikat peralatan ujian automatik (ATE) serta pemain industri dengan peluang pembiayaan strategik.

 

Beliau berkata kehadiran Granite Asia membuktikan Pulau Pinang bukan sahaja kekal sebagai hab pembuatan elektronik global, tetapi kini berkembang sebagai destinasi utama pelaburan teknologi dan inovasi di rantau ini.

 

Tambah beliau, inisiatif ini juga selari dengan usaha kerajaan negeri menerusi Penang Silicon Design @5km+ serta Penang ATE Campus dalam membangunkan ekosistem industri yang lebih menyeluruh. - DagangNews.com