Signature International jual hartanah RM66 juta di Kota Damansara selesaikan baki hutang bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Signature International jual hartanah RM66 juta di Kota Damansara selesaikan baki hutang bank

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 JunSignature International Berhad berhasrat melupuskan hartanah perindustrian di Kota Damansara, Selangor kepada Chin Hin Group Property Berhad pada nilai tunai RM66.0 juta.

 

Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, penjualan aset itu dijangka memberikan keuntungan bersih sebanyak RM5.6 juta, dan merupakan langkah strategik bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.


Transaksi itu dijangka membantu kumpulan mengurangkan beban hutang daripada 0.38 kali kepada 0.31 kali, kerana 70% hasil jualan iaitu RM46.2 juta digunakan untuk menyelesaikan baki pinjaman bank.


"Langkah pelupusan ini sekali gus dijangka dapat memberikan penjimatan kos faedah kira-kira RM2.3 juta hingga RM2.45 juta setiap tahun kepada kedudukan kewangan," jelas Signature International.


Ujarnya, penjualan melibatkan sebidang tanah perindustrian pajakan bersama bangunan kilang dan pejabat setinggi tiga tingkat di No.24, Jalan Teknologi, Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara.


Hartanah tersebut tambahnya, dijual oleh anak syarikatnya, Signature Cabinet Sdn Bhd kepada Boon Koon Capital Sdn Bhd, yang merupakan subsidiari milik tidak langsung Chin Hin Group Property.

 

Signature International_DagangNews2026


Urus niaga ini dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan (RPT) kerana Datuk Seri Chiau Beng Teik dan Datuk Wira Chiau Haw Choon merupakan pemegang saham utama dalam kedua-dua syarikat.


"Ia bukan lagi aset teras memandangkan kemudahan pengeluaran dipindahkan ke Bandar Enstek sejak Jun 2023, manakala pejabat korporat berpindah ke Menara Chin Hin pada November 2025," katanya.


Selain itu, baki hasil jualan sebanyak RM16.3 juta akan dibayar secara ansuran bulanan pinjaman kumpulan bagi tempoh 13 bulan, manakala RM3.5 juta lagi untuk kos perbelanjaan cadangan tersebut.


Jelasnya, Lembaga Pengarah Signature International, kecuali pengarah yang berkepentingan; turut berpendapat transaksi ini adalah adil, bersifat munasabah dan demi kepentingan terbaik syarikat. 


Cadangan ini kini tertakluk kepada kelulusan pemegang saham bukan berkepentingan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada 29 Jun 2026 di Menara Chin Hin, Sri Petaling.


"Sekiranya segala-galanya berjalan lancar, pelupusan hartanah berkenaan dijangka dapat siap sepenuhnya menjelang suku keempat tahun ini," kata kumpulan tersebut - DagangNews.com