M. Nasir saman MyTeksi lebih RM5 juta, dakwa nama digunakan tanpa kebenaran untuk promosi minuman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

M. Nasir saman MyTeksi lebih RM5 juta, dakwa nama digunakan tanpa kebenaran untuk promosi minuman

KUALA LUMPUR 12 Jun – Penyanyi dan komposer veteran, M. Nasir memfailkan saman terhadap syarikat milik Grab Malaysia menerusi anak syarikatnya MyTeksi Sdn Bhd dengan tuntutan melebihi RM5 juta berhubung dakwaan penggunaan tanpa kebenaran nama dan jenamanya bagi tujuan pemasaran minuman.

 

M. Nasir yang nama sebenarnya Datuk Mohd Nasir Mohamed bersama syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan MyTeksi sebagai defendan tunggal.

 

Menurut writ saman yang difailkan, ikon muzik tanah air itu mendakwa defendan telah menggunakan nama dan jenama M. Nasir bagi penjualan serta promosi minuman yang dipasarkan sebagai “Kegemaran M. Nasir” menerusi platform syarikat berkenaan tanpa mendapatkan persetujuan atau kebenaran beliau.

 

"Plaintif mendakwa penggunaan nama tersebut telah memberi gambaran bahawa produk berkenaan mempunyai kaitan, sokongan atau pengesahan daripada M. Nasir sedangkan tiada sebarang kebenaran diberikan," lapor NST.

 

Sehubungan itu, plaintif memohon perintah injunksi bagi menghalang MyTeksi, ejen serta pekerjanya daripada meneruskan sebarang dakwaan salah nyata, penyalahgunaan atau eksploitasi nama M. Nasir untuk kepentingan komersial syarikat.

 

Mereka turut memohon perintah mahkamah supaya defendan mendedahkan dalam tempoh tujuh hari penyata akaun keuntungan yang diperoleh hasil penjualan minuman yang dipasarkan menggunakan nama “Kegemaran M. Nasir” melalui platform tersebut.

 

Selain menuntut ganti rugi yang akan ditaksir oleh mahkamah, plaintif turut memohon sebagai alternatif perakaunan keuntungan yang didakwa diperoleh hasil daripada penjualan produk minuman berkenaan.

 

Plaintif juga menuntut ganti rugi am, faedah serta kos guaman berkaitan tindakan undang-undang tersebut.

 

Dalam tuntutan sama, M. Nasir dan Luncai Emas turut menuntut ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta serta ganti rugi teruk berjumlah RM2 juta. - DagangNews.com