Elsa kutip hasil RM47 juta bagi 1QFY26 menjelang penyenaraian pada 16 Jun 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Elsa kutip hasil RM47 juta bagi 1QFY26 menjelang penyenaraian pada 16 Jun 2026

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 JunElsa Berhad mencatatkan perolehan sebanyak RM46.55 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 16 Jun 2026.

 

Syarikat penyedia rumusan perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (O&G) tersebut berkata, perkembangan positif berkenaan didorong oleh prestasi kukuh menerusi segmen perniagaan terasnya.


Ia mencatatkan keuntungan bersih RM1.4 juta selepas diambil kira potongan perbelanjaan operasi melibatkan kos kakitangan, susut nilai, serta kerugian nyata atas pertukaran wang asing (forex).


"Segmen rumusan bakat dan perkhidmatan medan minyak menjadi penyumbang utama pendapatan dengan nilai kolektif RM36.3 juta, atau 78% daripada jumlah hasil keseluruhan," maklum Elsa kepada bursa.


Syarikat turut melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM2.08 juta, namun kadar cukai efektif kumpulan itu adalah sebanyak 32.69%, iaitu lebih tinggi daripada kadar berkanun kira-kira 24%.


Perbezaan ini jelasnya, berpunca daripada beberapa anak syarikat yang mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT), dengan tiada aset cukai tertangguh dapat diiktiraf bagi merekodkan kerugian tersebut.


Mengulas mengenai prospek masa depan, Elsa kekal optimis terhadap pertumbuhannya berdasarkan asas persekitaran industri, termasuk pelaburan pelbagai projek modal daripada PETRONAS sehingga 2030.


"Aktiviti penerokaan dan pengeluaran domestik yang diperkukuh dijangka terus perbelanjaan modal (capex), yang secara langsung memberi manfaat kepada penyedia perkhidmatan," ujar kumpulan itu.


Selain itu, ia akan memanfaatkan keupayaan bersepadu merentasi segmen perniagaan teras bagi meraih banyak peluang kontrak berasaskan teknologi dan meningkatkan nilai operasi buat semua pelanggan.


Strategi Elsa tambahnya, merangkumi usaha pengukuhan kehadiran pasaran di Malaysia, meningkatkan portfolio projek, serta mengembangkan kapasiti bagi segmen rumusan robotik dan kejuruteraan.


Sebelum ini, melalui tawaran awam permulaan (IPO) syarikat dijangka meraih dana kasar berjumlah RM27.2 juta untuk tujuan pengembangan perniagaan, modal kerja, dan kos penyenaraian. - DagangNews.com