Handal Energy menunda kali ketiga penerbitan Laporan Tahunan, kali ini ke 26 Jun 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Handal Energy menunda kali ketiga penerbitan Laporan Tahunan, kali ini ke 26 Jun 2026

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 12 Jun - Penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Handal Energy Bhd, terus berdepan tekanan selepas sekali lagi menangguhkan penerbitan Laporan Tahunan FY2025 serta penyata kewangan beraudit, kali ini kepada 26 Jun.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan tarikh baharu tersebut sebagai jangkaan terkini bagi penerbitan dan penyerahan laporan berkenaan. Namun, tiada sebarang sebab diberikan bagi penangguhan terbaharu itu.

 

Penangguhan ini merupakan kali ketiga Handal menunda tarikh pelaporan kewangan selepas gagal memenuhi tarikh akhir asal pada 30 April, yang seterusnya menyebabkan dagangan sahamnya digantung sejak 11 Mei.

 

Sebelum ini, syarikat menetapkan 22 Mei sebagai tarikh sasaran baharu selepas penangguhan pertama. Ia kemudian ditangguhkan lagi ke 12 Jun sebelum dilanjutkan sekali lagi kepada 26 Jun.

 

Di bawah keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, syarikat tersenarai yang gagal mengemukakan penyata kewangan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh akhir yang ditetapkan boleh berdepan prosiding penyahsenaraian, selain tindakan penguatkuasaan oleh bursa.

 

Punca Kelewatan

Handal sebelum ini menjelaskan kelewatan berpunca daripada keperluan masa tambahan untuk memuktamadkan penyata kewangan beraudit susulan perubahan tahun kewangan syarikat daripada 30 Jun kepada 31 Disember, yang melibatkan tempoh pelaporan 18 bulan dari 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2025.

 

Syarikat itu memaklumkan ia akan kembali kepada tempoh tahun kewangan biasa selama 12 bulan berakhir 31 Disember selepas ini.

 

Saham Handal kali terakhir didagangkan pada harga satu sen, dengan permodalan pasaran sekitar RM4.5 juta.

 

Dari sudut kewangan, syarikat itu kekal mencatat kerugian selama 12 suku berturut-turut. Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026), Handal merekodkan kerugian bersih RM403,000 walaupun menjana hasil sebanyak RM5 juta. - DagangNews.com