Scanwolf raih kontrak RM21 juta bagi kerja asas projek kilang strata 9 tingkat di Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Scanwolf raih kontrak RM21 juta bagi kerja asas projek kilang strata 9 tingkat di Klang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Jun – Scanwolf Corporation Berhad memperoleh kontrak bernilai RM21 juta menerusi anak syarikat milik penuhnya, Scanwolf Trading & Construction Sdn. Bhd. bagi melaksanakan kerja-kerja asas untuk pembangunan sebuah kilang strata sembilan tingkat di Bukit Raja, Klang, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, Scanwolf Trading & Construction telah menerima Surat Anugerah (LOA) daripada SG. Besi Construction Sdn. Bhd. pada 12 Jun 2026.

 

Kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja asas bagi projek pembangunan satu blok kilang strata sembilan tingkat yang merangkumi ruang menunggu, kebuk sampah, bilik tangki, bilik pam, pencawang elektrik, ruang kilang, tempat letak kereta, ruang solat dan dewan serbaguna di atas tanah PT 84557 dan PT 84558, Mukim Bukit Raja, Klang.

 

Projek itu dibangunkan untuk Armani Maker Alliance Sdn. Bhd.

 

Menurut Scanwolf, kontrak tersebut diberikan berdasarkan kaedah jumlah pukal tetap bernilai RM21 juta dan tidak tertakluk kepada sebarang pelarasan harga akibat inflasi, perubahan keadaan pasaran atau kos tambahan yang timbul daripada sebarang kecacatan reka bentuk.

 

“Skop kerja merangkumi pembinaan, penyiapan, pengujian dan pentauliahan kerja-kerja berkaitan serta semua keperluan yang ditetapkan oleh pihak majikan bagi memastikan pelaksanaan dan penyiapan projek berjalan lancar,” katanya.

 

Kerja-kerja subkontrak itu akan bermula pada 12 Jun 2026 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 11 Jun 2027.

 

Scanwolf berkata, antara risiko yang mungkin dihadapi sepanjang tempoh pelaksanaan projek termasuk ketersediaan tenaga kerja mahir, bekalan bahan binaan, turun naik harga bahan mentah serta keperluan kawal selia.

 

Bagaimanapun, syarikat akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan kesan risiko tersebut demi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

 

Dari segi kewangan, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan 30 Jun 2027. - DagangNews.com