Cape EMS nafi salah laku, dakwa pemindahan saham Aeronas dibuat secara sah bagi pihak syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cape EMS nafi salah laku, dakwa pemindahan saham Aeronas dibuat secara sah bagi pihak syarikat

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun – Cape EMS Bhd menafikan sebarang salah laku berhubung dakwaan pemindahan pegangan saham Aeronas Aircraft Sdn Bhd kepada seorang individu, sebaliknya menegaskan ia merupakan pengaturan sah di bawah struktur pemegang nama bagi pihak syarikat.

 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata semua tindakan yang diambil adalah bagi melindungi kepentingan syarikat serta pemegang saham pada setiap masa.

 

Cape EMS turut menegaskan ia tidak membuat sebarang kenyataan yang mengelirukan atau tidak konsisten, malah menyifatkan dakwaan Aeronas sebagai tuduhan berniat jahat, salah dan tidak berasas.

 

Terdahulu, Aeronas Aircraft Sdn Bhd mendakwa anak syarikat milik penuh Cape EMS, Cape Manufacturing (M) Sdn Bhd (CMM) sepatutnya menerima pegangan 30 peratus dalam Aeronas sebagai pertukaran kepada komitmen tunai RM20 juta di bawah memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani sebelum ini.

 

Aeronas berkata CMM telah membayar kira-kira RM9.983 juta daripada jumlah komitmen tersebut sebelum didakwa diarahkan oleh seorang eksekutif kanan Cape EMS supaya memindahkan pegangan 30 peratus itu kepada seorang individu.

 

Bagaimanapun, Cape EMS menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa pemindahan itu adalah sebahagian daripada struktur nominee yang sah dan bukannya pemindahan pemilikan mutlak kepada individu berkenaan.

 

Syarikat itu turut memaklumkan ia tidak mengumumkan MOU bertarikh 9 Mac 2026 kerana mendapati dakwaan Aeronas tidak disahkan secara terperinci dan tidak disokong bukti mencukupi, walaupun beberapa permintaan penjelasan telah dibuat secara berulang kali.

 

Cape EMS berkata antara dakwaan Aeronas yang tidak dapat disahkan termasuk tuntutan teknologi pesawat bernilai AS$1 bilion (sekitar RM4.1 bilion), selain tempahan lima ditambah lima pesawat bernilai RM78.2 juta yang tidak disertakan bukti seperti dokumen, identiti pembeli atau deposit.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aeronas fail aduan kepada SC, Bursa Malaysia berhubung dakwaan salah laku korporat melibatkan Cape EMS

 

Syarikat itu turut menyebut dakwaan tempahan 30 pesawat bernilai RM229.5 juta juga tidak mempunyai dokumen sokongan, maklumat pembeli atau bukti pembayaran yang sah.

 

Menurut Cape EMS, semua tuntutan tersebut tidak disokong bukti kukuh walaupun beberapa kali permintaan penjelasan telah dikemukakan kepada pihak Aeronas.

 

Syarikat itu turut menjelaskan bahawa di bawah Perenggan 9.05(3)(a) dan (b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, terdapat keadaan luar biasa yang membenarkan penangguhan pengumuman maklumat material tertentu.

 

Cape EMS berkata keputusan untuk tidak mengumumkan MOU tersebut dibuat kerana ia berada dalam kategori keadaan luar biasa, di mana pendedahan awal boleh menjejaskan perancangan perniagaan, selain maklumat masih belum lengkap dari segi komersial, teknikal dan kewangan.

 

Syarikat itu menambah Bursa Malaysia tidak membenarkan pengumuman yang mengandungi maklumat tidak disahkan atau dakwaan berlebihan, khususnya bagi produk atau teknologi yang masih di peringkat pembangunan dan belum disahkan secara komersial.

 

Cape EMS turut menegaskan pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai prosiding mahkamah berikutan kes tersebut kini sedang dibicarakan di mahkamah.

 

Terdahulu, Aeronas telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia berhubung beberapa dakwaan berkaitan urus niaga tersebut yang turut dikaitkan dengan tindakan saman sivil bernilai RM279 juta terhadap CMM di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

 

Sebagai tindak balas, CMM telah memfailkan tuntutan balas berjumlah RM15.05 juta terhadap Aeronas.

 

Cape EMS juga dilaporkan sedang memohon perintah injunksi bagi menghalang Aeronas daripada membuat sebarang kenyataan awam lanjut berkaitan pertikaian ini sementara kes masih dalam proses perbicaraan. - DagangNews.com