Gagal misi di Thailand, Deleum kena fokus semula cari sasaran baharu – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gagal misi di Thailand, Deleum kena fokus semula cari sasaran baharu – MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Sept – Keputusan Deleum Berhad membatalkan cadangan pengambilalihan aset dan perniagaan perkhidmatan medan minyak MPC Future Co Ltd, dilihat hanya sebagai halangan sementara.


Sebaliknya, MBSB Research berpandangan, situasi tersebut bukannya kerugian yang bersifat kekal, selepas beberapa syarat utama dalam perjanjian jual beli dengan syarikat Thailand itu didapati gagal pula dipenuhi.


Menurutnya, pembatalan itu berlaku menjelang tarikh akhir rundingan, antaranya termasuk ketiadaan perjanjian novasi yang perlu ditandatangani antara pihak-pihak terlibat untuk pemindahan kontrak.


"Kami difahamkan tiada pengesahan bertulis oleh pemberi pinjaman MPC bagi semua hutang diselesai dan cagaran dilepaskan, serta tiada kebenaran bertulis membolehkan urus niaga diteruskan," katanya.


MBSB Research dalam notanya itu berpendapat, meskipun keputusan ini mengecewakan dalam jangka pendek, ia membuka ruang baharu untuk Deleum menilai strategi pengambilalihan yang lebih bersasar.


Tambahnya firma penyelidikan tersebut, penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) terkemuka di Malaysia itu sebenarnya boleh meneroka peluang lain yang memberi potensi lebih menguntungkan.


Deleum juga dilihat kekal proaktif memburu peluang pengembangan tidak organik di pasaran luar terutama di Asia Tenggara dengan keutamaan ke atas syarikat yang berprospek tinggi tetapi kurang dinilai.

 

Artikel berkaitan: Deleum batal pengambilalihan MPC Future dari Thailand kerana syarat utama gagal dipenuhi


"Langkah ini boleh memperkukuh sinergi operasi sedia ada kekal berdaya saing dengan asas operasi yang kukuh serta terus aktif mencari peluang pertumbuhan baharu di peringkat serantau," katanya.


Walaupun tanpa suntikan pertumbuhan dari pengambilalihan MPC, Deleum kata MBSB Research, memiliki asas operasi teguh dan setakat ini, syarikat mempunyai buku tempahan bernilai RM1.51 bilion.


Ia jelasnya, cukup untuk menyokong operasi bagi tempoh sekurang-kurangnya 1.5 tahun akan datang dan daripada jumlah itu, 79% adalah projek di bawah segmen Oilfield Integrated Services (OIS).


Sementara 21% lagi disumbangkan oleh segmen Power and Machinery (P&M), di samping Deleum aktif membida projek baharu dengan nilai keseluruhan RM492 juta, dan kadar kejayaan bidaan sekitar 50%.


"Kami menilai tiada sebarang perubahan unjuran pendapatan susulan pembatalan pengambilalihan ini, kerana ia tidak pula membawa kesan kewangan langsung pun kepada syarikat," kata MBSB Research.


Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Deleum, dengan harga sasaran juga tidak berubah pada RM1.92 sesaham, berdasarkan nilai unjuran 9.5 kali ke atas perolehan FY25 sebanyak 20.8 sen.


Secara keseluruhan, meskipun kehilangan peluang pengambilalihan aset MPC dianggap satu kegagalan strategik dalam jangka masa pendek, syarikat itu masih dianggap kukuh. - DagangNews.com