KUALA LUMPUR 18 Sept – Deleum Bhd membatalkan rancangan pengambilalihan aset dan perniagaan perkhidmatan minyak daripada MPC Future Co Ltd, sebuah syarikat berpangkalan di Thailand, selepas syarat-syarat utama dalam perjanjian jual beli (SPA) gagal dipenuhi.
Cadangan pengambilalihan itu diumumkan pada Jun lalu dengan nilai RM60 juta melalui gabungan tunai dan penerbitan saham dalam anak syarikat Deleum iaitu Deleum Oilfield Solutions (Thailand) Co Ltd (DOST).
Transaksi tersebut dijangka menjadikan MPC Future memegang 48.34% pegangan dalam DOST, sementara Deleum kekal 49.93% dan baki 1.73% dipegang oleh Suthee Chivaphongse, pengarah dan pemegang saham utama DOST.
Deleum berkata, syarat-syarat yang tidak dipenuhi termasuk pelaksanaan perjanjian novasi untuk pemindahan kontrak sedia ada, pengesahan hutang MPC telah dilangsaikan sepenuhnya, serta persetujuan bertulis daripada pemberi pinjaman lain MPC.
“DOST telah mengeluarkan notis rasmi pada 18 Sept untuk menamatkan SPA, sekaligus membatalkan pengambilalihan dan langganan saham yang dirancang.
“Tiada kesan kewangan dijangka daripada pembatalan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Deleum, penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) terkemuka di Malaysia yang beroperasi melalui dua segmen utama, iaitu Power & Machinery (P&M) dan Oilfield Integrated Services (OIS).
Ia menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk sokongan kitaran hayat penuh untuk penjana gas turbin, servis peralatan O&G, serta penyelesaian kimia dan teknologi khusus untuk industri ini.- DagangNews.com








