FMM tolak alasan Lembaga Pelabuhan Kelang lama tidak naikkan tarif sejak 2015 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FMM tolak alasan Lembaga Pelabuhan Kelang lama tidak naikkan tarif sejak 2015

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Jun — Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) menolak alasan yang dikemukakan Lembaga Pelabuhan Kelang (PKA) berhubung kenaikan tarif dibuat secara berperingkat mulai 1 Julai 2025.


Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai turut bertegas menentang caj baharu itu sebagai mengakibatkan peningkatan kos yang drastik dan berisiko besar menghukum para pemilik kargo secara tidak adil.


Tambahnya, peredaran masa selama beberapa dekad bukan alasan wajar membenarkan peningkatan selepas semakan terakhir tarif pelabuhan itu pada 2015 manakala caj penyimpanan kekal sejak 1966.


"Walaupun kami bersetuju PKA menambah baik penggunaan halaman dan mengurangkan penyimpanan jangka panjang, kenaikan secara mendadak bukan satu-satunya penyelesaian," katanya dalam kenyataan.


Thian Lai menambah, banyak kelewatan dalam pelepasan kargo adalah di luar kawalan pengeksport dan pengimport serta sering dikaitkan dengan proses pemeriksaan dan pelepasan ketat pihak berkuasa.


Selain itu katanya, kekurangan formula pemulihan kos diterbitkan atau rujukan penanda aras bagi caj penyimpanan kontena turut menjejaskan keyakinan terhadap keadilan dan ketelusan pelarasan tarif.


FMM sebelum ini mengunjurkan tarif yang disemak, boleh menaikkan yuran pengendalian kontena kepada AS$130 (kira-kira RM551.72) setiap unit lebih tinggi berbanding Vietnam, Indonesia dan Thailand.

 

Artikel berkaitan: Lembaga Pelabuhan Kelang nafi dakwaan FMM tarif naik 30%

 

Lembaga Pelabuhan Kelang


PKA menurut Pengurus Besarnya, Kapten K Subramanian dalam kenyataan namun menolak dakwaan FMM itu dan menjelaskan kadar kekal 5% dan 185% lebih rendah daripada pelabuhan-pelabuhan ASEAN yang lain.


Mengulas lanjut, Thian Lai membantah rasional itu dan berkata, tarif pengendalian Malaysia mungkin kelihatan kompetitif di atas kertas, tetapi kos sebenar ditanggung pengirim adalah lebih tinggi.

 

"Keadaan ini ketara disebabkan kenaikan harga dikenakan syarikat perkapalan dan tanpa pembaharuan struktur, pengeksport Malaysia akhirnya menghadapi kos setara Singapura serta Hong Kong, tambahnya.


Ia sekali gus menjejaskan daya saing serantau negara dan mengenai alasan PKA bahawa kenaikan itu memberi kesan hiliran minimum kepada pengguna, FMM berhujah tekanan luas dirasai pengeluar produk.


FMM katanya, juga menekankan kesan pengkompaunan beberapa kenaikan kos serentak termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta syor kenaikan tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad.


Perkembangan tersebut jelas Thian Lai, menandakan bahawa caj pelabuhan adalah antara yang paling tidak boleh diserap untuk perniagaan dan boleh mencetuskan riak kesan merentas rantaian bekalan.


FMM tetap bimbang mengenai skala dan masa dikuatkuasakan tanpa pendedahan kos secara terperinci atau rundingan pihak berkepentingan yang mungkin memberi beban tidak wajar kepada pemain industri.


"Memandangkan implikasi yang meluas ke atas sektor perdagangan, pelaburan dan kos bagi menjalankan perniagaan, kami percaya rasional untuk semakan itu memerlukan penelitian lebih lanjut," katanya.


Tambah beliau, tanpa justifikasi telus, peningkatan tarif pelabuhan itu akan dilihat memaksimumkan hasil dengan mengorbankan kemudahan perdagangan serta dikhuatiri menjejaskan keyakinan pelabur.


Justeru, FMM mengulangi gesaan agar ditangguhkan kenaikan dan menggesa PKA terlibat dengan pihak berkepentingan menilai semula struktur yang mampan dan bertanggungjawab. - DagangNews.com