Lembaga Pelabuhan Kelang nafi dakwaan FMM tarif naik 30% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lembaga Pelabuhan Kelang nafi dakwaan FMM tarif naik 30%

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Jun — Lembaga Pelabuhan Kelang (PKA) menafikan dakwaan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) mengenai semakan pelarasan semula caj pengendalian kontena pelabuhan berkenaan sebagai terlalu tinggi.


Pengurus Besarnya, Kapten K Subramaniam berkata, kadar baharu ditetapkan sebenarnya masih berada antara 5% dan 185% lebih rendah berbanding pelabuhan-pelabuhan lain di ASEAN selepas kenaikan sepenuhnya pada 2027.


Tambahnya, semakan semula itu adalah langkah perlu untuk memastikan kualiti perkhidmatan jangka panjang, kecekapan operasi, dan kesediaan infrastruktur dengan pelan pelaksanaannya berperingkat dalam masa tiga tahun.


"Sebelum kelulusan tarif ini, kajian secara menyeluruh dan terperinci telah dilakukan PKA untuk menilai justifikasi sebelum akhirnya kuantum kenaikan kadar itu dikurangkan serta dilengkapkan lagi," katanya dalam kenyataan.


Ia sebagai maklum balas kepada kenyataan FMM sebelum itu yang mendakwa konon caj Pelabuhan Klang sudah setanding dengan Singapura dan Hong Kong, serta lebih mahal daripada di Vietnam, Indonesia dan Thailand sendiri.


Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai membantah langkah Kementerian Pengangkutan mewartakan tarif baharu itu bermula kenaikan 15% pada 1 Julai 2025, diikuti 10% lagi pada 1 Januari 2026 dan baki 5% pada 1 Januari 2027.


Mengulas lanjut, Subramaniam menolak dakwaan FMM kononnya tarif yang diluluskan kerajaan pada 13 Jun 2025 itu bakal menaikkan yuran pengendalian setiap unit kontena kepada AS$130 (RM551) dan disifatkan tidak tepat.


Beliau juga mempertikaikan anggaran FMM bahawa semakan tarif boleh mengakibatkan peningkatan kos industri tahunan mencecah RM1.125 bilion sambil mengkritik angka tersebut berdasarkan andaian salah dan agak keterlaluan.


“Ia mengandaikan semua volum kontena tertakluk kepada peningkatan penuh, tetapi mengabaikan faktor utama seperti pelaksanaan berperingkat, tempoh penyimpanan percuma, dan harga berbeza untuk kargo pemindahan,” katanya.


Namun bagi menangani kebimbangan kenaikan tarif akan meningkatkan harga barangan pengguna secara ketara, Subramaniam menyatakan caj pelabuhan mewakili hanya sebahagian kecil daripada jumlah kos diserapkan pengguna.


Kelazimannya tambah beliau, sebuah kontena yang membawa sebanyak 20 tan kargo akan menyaksikan peningkatan dalam caj pengendalian pelabuhan hanya kira-kira 0.45 sen setiap kilogram dan dianggap masih lagi berpatutan.


Selain itu, ia tidak menghakis daya saing eksport kerana lebih dipengaruhi kekuatan struktur lebih luas seperti asas pembuatan teguh, perjanjian perdagangan strategik, portfolio pelbagai, dan kapasiti perindustrian tempatan.


“Dalam konteks ini, kenaikan sederhana dijangka memberi impak minimum ke atas harga eksport, dibandingkan faktor kos lebih ketara seperti harga bahan mentah, turun naik mata wang, dan dinamik permintaan global,” katanya. - DagangNews.com