Fiamma menilai semula 2 hartanah di Kepong bagi FY25, ada lebihan RM3.78 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fiamma menilai semula 2 hartanah di Kepong bagi FY25, ada lebihan RM3.78 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 FebFiamma Holdings Berhad melengkapkan usaha penilaian semula ke atas dua aset hartanahnya di Kepong, Kuala Lumpur bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025.


Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarahnya sudah meluluskan pengiktirafan lebihan penilaian semula yang dilakukan oleh firma Henry Butcher Malaysia Sdn Bhd.


Jumlah yang dinilai tersebut tambahnya, akan dimasukkan dalam keputusan kewangan kumpulan itu bagi tahun kewangan berkenaan, selaras dengan garis panduan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS).


"Ia melibatkan kilang setingkat bersama pejabat dua tingkat di Lot 13, Jalan E 1/5, Taman Usaha Ehsan, dan bangunan pejabat 11 tingkat yang dikenali Wisma Fiamma di Bandar Menjalara," katanya.


Kedua-dua hartanah strategik berkenaan jelasnya, sudah menjalani proses penilaian oleh firma yang dilantik kumpulan tersebut secara berasingan masing-masing pada 27 November 2025 dan 6 Mei 2025.


Berdasarkan penilaian berkenaan, kilang di Taman Usaha Ehsan dinilai semula pada RM10 juta dengan lebihan RM1.726 juta, manakala Wisma Fiamma dinilai pada RM47 juta dengan lebihan RM3.172 juta.


Secara keseluruhan katanya, lebihan penilaian berjumlah RM3.78 juta selepas cukai tertunda, sudah pun meningkatkan aset bersih sesaham kumpulan iaitu RM0.0071 kepada RM1.4669 setakat 31 Disember 2025.


Laporan penilaian hartanah berkenaan boleh diperiksa di pejabat berdaftar syarikat di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur untuk tempoh tiga bulan dari tarikh pengumuman ini. - DagangNews.com