KUALA LUMPUR 23 Jan - Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) memfailkan saman terhadap pengeluar kopi segera Power Root Bhd (Power Root), menuntut RM7.39 juta berikutan dakwaan kegagalan membayar balik pinjaman.
Bank tersebut menuntut pembayaran semula sebanyak RM675,509.22 untuk dana yang disalurkan kepada anak syarikat Power Root serta tambahan RM6.72 juta berkaitan perjanjian pinjaman lain pada tahun 2012.
EXIM Bank juga menuntut ganti rugi am, contoh dan punitif, faedah serta kos guaman.
Power Root menafikan semua dakwaan dan menegaskan bahawa anak syarikat mereka mempunyai asas yang kukuh untuk mencabar tuntutan tersebut, dengan merujuk kepada tuntutan insurans di bawah polisi komprehensif.
Syarikat itu berpendapat, hak ke atas hutang tertunggak, yang menjadi asas tuntutan insurans, telah dipindahkan kepada EXIM Bank dan sebarang pemulihan hutang tersebut adalah tanggungjawab bank semata-mata.
Kes itu akan didengar semula ada 3 Februari 2025 secara maya.
Power Root menyatakan, tuntutan tersebut dijangka tidak memberi kesan kepada tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2025. - DagangNews.com








