KUALA LUMPUR 27 Jan - Enam syarikat pertanian utama dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia menyatakan minat untuk terlibat dalam Projek Bebuling Agropark di Spaoh, Betong di Sarawak.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, syarikat-syarikat itu pakar dalam pertanian moden, merangkumi penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta penternakan ayam dan ketam air tawar.
"Syarikat-syarikat ini boleh berfungsi sebagai entiti teras dan mengalu-alukan petani kontrak untuk bekerjasama dengan mereka. Mereka juga akan berkongsi teknik pertanian moden dan menyediakan bahan penanaman serta pembiakan kepada para petani.
"Setakat ini, kami sedang mempertimbangkan tiga daripada enam syarikat untuk Projek Bebuling Agropark," katanya tanpa menyebut nama syarikat tersebut seperti laporan The Star.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan baja bernilai RM500,000 kepada pekebun kecil kelapa sawit di Spaoh, Bukit Sabah, Debak dan Betong baru-baru ini.
Uggah Embas, yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak serta Menteri Ekonomi Baharu, Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, pembinaan Bebuling Agropark seluas 300 hektar akan dimulakan dalam masa terdekat.
Katanya, projek itu berpotensi menjadi pemangkin perubahan dalam sektor pertanian dengan meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani.
Kerajaan merancang untuk menjadikan kawasan Bukit Saban sebagai pusat pengeluaran makanan utama di Betong.
Sebagai sokongan, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan kini sedang dibina berhampiran lapangan terbang pendek Bebuling (STOLport).
Majlis pecah tanah STOLport disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada akhir 2021.
Ia yang bernilai RM108 juta, bakal dilengkapi landasan sepanjang 790 meter.
Lapangan terbang tersebut akan memudahkan pengangkutan kargo bagi hasil pertanian di kawasan bakul makanan Betong. - DagangNews.com








