Elridge Energy lanjutkan tempoh pembelian mesin baharu guna baki IPO RM8.31 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Elridge Energy lanjutkan tempoh pembelian mesin baharu guna baki IPO RM8.31 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 FebElridge Energy Holdings Berhad melanjutkan tempoh penggunaan baki hasil tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM8.31 juta untuk pembelian mesin dan peralatan baharu.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan tersebut berkata, masa yang ditambah lagi selama 18 bulan itu menjadikan tempoh keseluruhan penggunaan peruntukan tersebut kepada 36 bulan.


Menurutnya, tempoh berkenaan diambil kira daripada tarikh penyenaraian di Pasaran ACE pada 22 Ogos 2024, dengan dilanjutkan sehingga 22 Ogos 2027 berbanding tarikh asal iaitu 22 Februari 2026.


"Daripada jumlah RM21.14 juta yang diperuntukkan bagi pembelian mesin dan peralatan, sebanyak RM12.83 juta sudah habis digunakan, manakala baki RM8.31 juta masih belum dibelanjakan," kata Elridge Energy.


Menurut lembaga pengarah kumpulan tersebut, tambahan tempoh itu berpunca daripada kelewatan yang tidak dijangka dalam pembukaan sebuah kilang baharu syarikat berkenaan di Lahad Datu, Sabah.


Ini jelasnya lagi, termasuk tempoh lebih panjang diperlukan untuk mengenal pasti dan memuktamadkan penyewaan tapak premis yang bersesuaian dengan keperluan operasi kumpulan dalam jangka panjang.


Pembelian mesin dan peralatan baharu itu ujar Elridge Energy, termasuk barisan pengeluaran, alat 'wheel loader' dan jengkaut yang masih bergantung kepada ketersediaan tapak kilang berkenaan.


"Sebelum ini, kumpulan turut melanjutkan tempoh penggunaan RM47 juta hasil IPO yang diperuntukkan bagi pemerolehan tanah dan kos pembinaan kilang serta gudang baharu di Kuantan, Pahang," katanya.


Justeru, lembaga tersebut berpandangan yang lanjutan tempoh terbaharu itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan tidak akan memberi kesan material terhadap prestasi kewangan kumpulan.


Bagaimanapun ujar Elridge Energy, status penggunaan hasil IPO akan terus dimaklumkan dalam laporan kewangan suku tahunan dan laporan tahunan sehingga digunakan sepenuhnya. - DagangNews.com