Econpile tegaskan bayaran diterima berhubung projek lebuh raya MEX tiada kaitan kes Abu Sahid | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econpile tegaskan bayaran diterima berhubung projek lebuh raya MEX tiada kaitan kes Abu Sahid

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 SeptEconpile Holdings Berhad menegaskan bayaran diterima anak syarikatnya, Econpile (M) Sdn Bhd (EMSB), seperti disebut dalam pertuduhan pengubahan wang haram terhadap pemilik Maju Expressway, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, adalah berkaitan projek Maju Kuala Lumpur.


Kumpulan itu menjelaskan, projek berkenaan tiada kaitan dengan sebarang pertuduhan jenayah, manakala EMSB dianugerahkan kontrak kerja asas dan struktur bawah tanah bagi projek Maju Kuala Lumpur pada September 2016.


Bayaran yang diterima pada 2017 dan 2018 masing-masing berjumlah RM42.89 juta dan RM34.68 juta untuk kerja-kerja yang telah pun disiapkan ketika itu, serta telah dilaporkan secara berkala kepada para pemegang sahamnya.


"Selepas semakan lembaga pengarah dan pengurusan, kami mengesahkan tiada pertuduhan dikenakan terhadap syarikat atau anak syarikat, dan operasi perniagaan kekal normal," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Sejak 2019, EMSB mengambil tindakan undang-undang terhadap ASM Development (KL) Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan Abu Sahid, berhubung isu tunggakan bayaran kerja bernilai RM80.1 juta.


Pada Jun lalu, EMSB dilaporkan berjaya memenangi kes adjudikasi untuk menuntut semula sebanyak RM67.77 juta daripada jumlah tersebut.


Bagaimanapun, ASM Development memfailkan saman balas terhadap EMSB pada akhir 2019, menuntut hampir RM346 juta atas dakwaan kegagalan menyiapkan kerja-kerja projek.



Artikel berkaitan:

Pengarah Maju Group, Abu Sahid didakwa atas 4 tuduhan pecah amanah RM313 juta projek lebuh raya MEX II


Isteri Pengarah Maju Holdings mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram RM67.1 juta

 

Bekas Pengarah MEX II didakwa palsukan tuntutan bernilai RM314.5 juta

 

Econpile



Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan ada sembilan lagi individu bakal didakwa dalam siasatan berkaitan projek sambungan lebuh raya MEX II dari Putrajaya ke KLIA.


Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan tambahan dijangka difailkan oleh SPRM sebelum akhir bulan ini. 


Semalam, Abu Sahid didakwa dengan empat pertuduhan pecah amanah jenayah berjumlah RM313 juta serta 13 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM139 juta berkaitan dana projek MEX II yang masih belum siap.


Tambahan tujuh lagi pertuduhan melibatkan penyelewengan berjumlah RM145 juta turut akan difailkan terhadap Abu Sahid.


Isteri Abu Sahid, Puan Sri Noor Azrina Azmi, turut didakwa atas satu pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM67 juta, manakala bekas pengarah MEX II Sdn Bhd, Datuk Yap Wee Leong dituduh dengan 17 pertuduhan pemalsuan dokumen tuntutan kerja.


Beliau bakal menghadapi sebanyak 18 pertuduhan tambahan dengan sembilan daripadanya di bawah Akta SPRM dan sembilan lagi di bawah Akta AMLATFPUAA 2001.


Kesemua individu yang dituduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan setakat ini. - DagangNews.com