​​​​​​​Isteri pengarah Maju Holdings mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram RM67.1 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Isteri pengarah Maju Holdings mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram RM67.1 juta

KUALA LUMPUR 8 Sept - Isteri kepada pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM67.1 juta.

 

Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, 48, didakwa menerima RM67,136,588.43 hasil daripada kegiatan haram di dalam akaunnya sendiri, yang diterima daripada akaun bank suaminya.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac hingga 27 Nov 2017.

 

Tuduhan itu dibawa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

 

Noor Azrina berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah Maju Group, Abu Sahid didakwa atas 4 tuduhan pecah amanah RM313 juta projek lebuh raya MEX II 

 

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memberitahu mahkamah bahawa kesalahan ini adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

 

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan satu penjamin sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan ikat jamin.

 

“Kami juga memohon syarat tambahan ikat jamin di mana tertuduh mesti menyerahkan pasportnya kepada mahkamah,” kata DPP Ahmad Akram.

 

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Noor Azrina, bersetuju dengan jumlah ikat jamin itu.

 

“Kami tiada bantahan terhadap syarat tambahan tersebut,” katanya.

 

Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad, membenarkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dan menetapkan sebutan semula pada 3 Nov. - DagangNews.com