Daya saing sektor telekomunikasi diyakini pulih semula susulan pengambilalihan penuh DNB — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Daya saing sektor telekomunikasi diyakini pulih semula susulan pengambilalihan penuh DNB — TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Dis — Pengambilalihan penuh Digital Nasional Berhad (DNB) oleh CelcomDigi Berhad, Maxis Berhad, dan YTL Power International Berhad dijangka menjadi pemangkin pemulihan daya saing.


Menurut TA Securities, langkah dilaksanakan tiga syarikat tersebut pada 2 Disember 2025 bakal menjana semula sektor telekomunikasi tempatan, terutama apabila berdepan saingan sengit U Mobile Sdn Bhd.


Setiap syarikat ini jelas firma penyelidikan itu, membayar RM327.9 juta untuk baki 42% kepentingan kerajaan termasuk masalah tanggungan pinjaman, faedah terkumpul dan kemudahan pemegang saham tambahan.


"Situasi tersebut menjadikan setiap pihak itu akan memegang satu pertiga daripada ekuiti DNB, dan transaksi berkenaan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan yang akan datang," tambahnya.


Langkah terbaharu ini kata TA Securities, sejajar dengan rumusan perjanjian pemegang saham yang membolehkan Kementerian Kewangan (MoF) menjual habis baki saham DNB selepas 12 November 2025.


Pemindahan DNB ke entiti swasta dijangka meningkatkan kecekapan kos, disiplin perbelanjaan modal (capex), dan tahap kelajuan pelaksanaan rangkaian teknologi telekomunikasi generasi kelima (5G)


Usaha itu jelasya, memastikan DNB lebih kompetitif dalam menghadapi saingan U Mobile, dan setakat Julai 2025, liputan 5G DNB mencapai 82.4%, berbanding U Mobile hanya 58.2% pada Oktober 2025.

 

Artikel berkaitan: CelcomDigi, Maxis dan YTL  Power ambil alih kepentingan kerajaan dalam DNB


"CelcomDigi dan Maxis, dijangka membiayai pengambilalihan itu menggunakan dana dalaman sendiri, disokong baki tunai masing-masing RM663 juta dan RM899 juta pada 3QFY25, tambah TA Securities.


Bagaimanapun katanya, risiko pendapatan wujud kerana DNB masih mencatatkan kerugian bersih kira-kira RM1.2 bilion pada FY24, yang menjejaskan keuntungan jika prestasi DNB tidak bertambah baik.


Justeru, firma berkenaan mengekalkan penarafan 'overweight' untuk sektor telekomunikasi, dengan hasil perkhidmatan dijangka kekal stabil, memandangkan syarikat lebih fokus kepada isu nilai tambah.


Sebaliknya kata TA Securities, mereka tidak terkesan disebabkan 'perang harga', manakala Fasa 2 JENDELA yang bermula awal 2026, dinilai berupaya menyediakan peluang tambahan bagi operator tempatan.


"Berdasarkan isu itu, kami masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas Axiata Berhad, CelcomDigi dan Telekom Malaysia Berhad dengan harga sasaran (TP) masing-masing RM3.03, RM4.50 dan RM8.45," jelasnya.


Firma itu namun memberi saranan 'pegang' terhadap Maxis dengan TP RM4.20, serta menyatakan risiko sektor tersebut kepada persaingan harga dan perubahan peraturan. - DagangNews.com