KUALA LUMPUR 2 Dis – CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan YTL Power International Bhd akan mengambil alih kepentingan kerajaan dalam Digital Nasional Bhd (DNB) selepas Kementerian Kewangan (MOF) menggunakan opsyen notis jual (put option notice) terhadap saham syarikat itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CelcomDigi berkata, ketiga-tiga syarikat itu akan membayar masing-masing RM327.87 juta bagi mengambil alih saham kerajaan serta pinjaman pemegang saham sedia ada.
Tempoh bagi melengkapkan pembelian ditetapkan dalam tempoh dua bulan.
Sebelum pengambilalihan ini, CelcomDigi, Maxis dan YTL Power masing-masing memiliki 19.44% saham DNB.
Setelah MOF keluar, ketiga-tiga syarikat akan memegang sepertiga saham DNB dan pinjaman pemegang saham, menjadikan mereka pemegang saham utama pengendali rangkaian 5G borong negara itu.
Kementerian Kewangan melalui MOF Inc, sebelum ini memegang RM500.1 juta daripada modal diterbitkan DNB dan menyediakan RM250.2 juta dalam bentuk pinjaman pemegang saham, mewakili 41.67% pegangan dalam syarikat itu.
Langkah ini dilaksanakan selepas CelcomDigi, Maxis, YTL Power dan MOF Inc mengambil alih kepentingan U Mobile Sdn Bhd dalam DNB pada Mei lalu, susulan pelantikan U Mobile untuk membangunkan rangkaian 5G kedua negara.
DNB ditubuhkan sebagai syarikat tujuan khas di bawah MOF untuk membangunkan infrastruktur 5G dan menyediakan perkhidmatan 5G borong secara tunggal kepada syarikat telekomunikasi.
Kemudian, kerajaan memperkenalkan model rangkaian borong berganda dengan pelantikan U Mobile bagi rangkaian kedua pada November 2024.
Ketiga-tiga syarikat dijangka menstruktur semula pegangan mereka dalam DNB bagi menyokong pelaksanaan dan pengembangan rangkaian 5G negara, selaras dengan pelan kerajaan memperkukuh ekosistem digital dan telekomunikasi.
Pengambilalihan kepentingan kerajaan ini menandakan langkah penting dalam pemilikan dan pengurusan rangkaian 5G serta memberi peluang kepada CelcomDigi, Maxis dan YTL Power untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pemegang saham utama syarikat pengendali rangkaian 5G di Malaysia. - DagangNews.com








