KUALA LUMPUR 31 Okt – Meskipun CTOS Digital Berhad terus berdepan kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang belum diisi lagi sejak 1 Mei 2025, ia menunjukkan momentum kukuh.
Menurut RHB Research, syarikat itu terus mencatatkan pemulihan stabil memasuki separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25) selepas Erick Hamburger mengambil cuti sebelum menamatkan perkhidmatan.
Firma penyelidikan itu berkata, ketiadaan CEO selama lebih daripada lima bulan belum menjejaskan hala tuju syarikat, dengan pengurusan interim dan struktur sedia ada berupaya menjana kelangsungan operasi.
"Kami berpendapat yang tahun kewangan 2025 akan menjadi sebagai 'tahun peralihan' CTOS menjelang pemulihan sebenar dijangka bermula pada FY26 pula," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Semalam, syarikat itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM61.9 juta, merosot 18% tahun ke tahun (YoY), tetapi mencerminkan 69% daripada sasaran penuh diunjurkan RHB Research tahun ini.
Untuk suku ketiga (3QFY25), syarikat membuktikan pemulihan dengan keuntungan teras naik 13.7% suku ke suku (QoQ), disokong aktiviti yang kukuh dalam pelbagai segmen dan pertumbuhan antarabangsa.
Artikel berkaitan: CTOS kaut untung bersih RM60.3 juta bagi 9MFY25, didorong sumbangan Juris Technologies
Kekosongan CEO jelasnya tidak menghalang pemulihan CTOS dengan pengurusan interim dilantik mampu mengemudi syarikat itu sepanjang tempoh transisi, manakala perniagaan asas terus berdaya tahan.
"Justeru, kami melihat ada banyak pemangkin teguh seperti pelancaran produk baharu, pengoptimuman kos dan perkembangan perniagaan di peringkat global untuk prospek FY26 pula," jelas RHB Research.
Berdasarkan perkembangan positif itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran tidak berubah RM1.16 dengan potensi kenaikan 28% serta unjuran dividen sekitar 3%.
Selain itu, walaupun kekosongan CEO adalah satu isu pengurusan CTOS, ia turut menilai risiko sudah diambil kira dalam harga saham semasa dan melihat sinergi pemulihan 2HFY25 sebagai peluang pelaburan.
Keadaan seperti ini kata RHB Research, menunjukkan bahawa walaupun menghadapi ketidaktentuan pengurusan kanan, CTOS masih berada dalam landasan pemulihan yang kukuh. - DagangNews.com








