KUALA LUMPUR 30 Okt – CTOS Digital Berhad terus mencatat pertumbuhan dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) RM24.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025.
Kumpulan pelaporan kredit tersebut berkata, ia meningkat 17% suku ke suku (QoQ), didorong faktor peningkatan hasil dan sumbangan kukuh daripada syarikat bersekutu, Juris Technologies Sdn Bhd.
Sepanjang sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY25), ia merekodkan hasil sebanyak RM238.1 juta dan PATAMI berjumlah RM60.3 juta, yang mencerminkan kedudukan kewangannya mantap.
"Ini membuktikan keberkesanan langkah penjimatan kos yang dilaksanakan awal tahun ini, termasuk daripada Juris terus menyumbang prestasi kukuh," kata CTOS dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu memegang 49% ekuiti dalam Juris sejak 2022 sebagai sebahagian strategi mengembangkan ekosistem digital kewangan melalui pelaburan ke atas syarikat teknologi dan perisian kredit tersebut.
Syarikat bersekutu itu jelasnya, mencatatkan keuntungan sebanyak RM8.2 juta dalam suku tersebut disokong buku tempahan semakin berkembang serta projek baharu di peringkat tempatan dan serantau.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kevin Loh, momentum pertumbuhan semakin kukuh selepas dua suku berturut-turut mencatat peningkatan keuntungan, hasil langkah pengoptimuman kos.
"Inisiatif strategik juga mula menunjukkan hasil dengan produk baharu diperkenalkan beberapa bulan lalu meraih maklum balas positif pelanggan, dan kami menjangka peningkatan berterusan," katanya.
Beliau menambah, potensi pasaran agensi pelaporan kredit di Malaysia masih luas lagi dan belum diterokai sepenuhnya, memberi ruang kepada CTOS memperkukuh kedudukan melalui produk inovatif.
Selain itu jelas Kevin, penglibatan pelanggan yang lebih mendalam, dan peningkatan operasi secara berterusan turut membantu kumpulan berkenaan menambah baik pendapatan dengan lebih konsisten.
Seiring dengan prestasi tersebut katanya, Lembaga Pengarah CTOS mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 0.75 sen sesaham bagi tempoh tiga bulan yang berakhir pada 30 September 2025.
"Tarikh kelayakan ditetapkan pada 30 Disember 2025, manakala pembayaran dijadual pada 28 Januari 2026. Ini mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 70% bagi suku tersebut," kata beliau.
Secara keseluruhan, dengan momentum keuntungan kukuh dan sumbangan berterusan Juris, CTOS kekal pada landasan pertumbuhan mampan menjelang akhir tahun kewangan 2025. - DagangNews.com








