KUALA LUMPUR 15 Okt - Crest Builder Holdings Berhad menerusi Crest Builder Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM23.93 juta daripada Quantum Quest Sdn Bhd bagi kerja-kerja pembinaan konkrit bagi pembangunan servis apartmen di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Menerusi kontrak itu, kumpulan itu perlu melaksanakan pembinaan konkrit bertetulang sehingga aras enam bagi pembangunan tiga blok servis apartmen dan podium setinggi enam tingkat.
"Kontrak tersebut adalah selama sembilan bulan dengan tarikh cadangan permulaan pada 3 November 2025 dan siap pada 3 Ogos 2026," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan dan berbayar Crest Builder, serta tidak menjejaskan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.
Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan tahun-tahun berikutnya.
Tiada mana-mana pengarah dan/atau pemegang saham utama Crest Builder dan/atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini.- DagangNews.com








