KUALA LUMPUR 15 Okt - Coastal Contracts Berhad menerusi Elite Point Pte Ltd memperoleh kontrak baharu bernilai RM12.8 juta bagi penyediaan perkhidmatan sewaan bot angkat (liftboat) dengan tempoh lanjutan pilihan.
Kumpulan itu berkata, anak syarikatnya sebelum ini telah menyempurnakan kontrak sewaan sedia ada pada 29 September 2025 selepas penyewa tidak menggunakan pilihan lanjutan untuk tempoh setahun lagi.
"Kontrak baharu itu mempunyai tempoh sewaan selama 120 hari, termasuk tempoh lanjutan pilihan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan 31 Disember 2026.
Katanya, risiko berkaitan kontrak baharu itu terhad kepada risiko operasi dan pelaksanaan biasa bagi syarikat minyak dan gas, namun syarikat menegaskan prosedur dan proses pengurusan risiko yang mencukupi telah dilaksanakan bagi mengurangkan sebarang kesan negatif.
Syarikat turut menjelaskan, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak itu. - DagangNews.com








