KUALA LUMPUR 27 Jan - Syarikat perkhidmatan kewangan digital, Citadel Group terus mengembangkan sayap perniagaan ke Indonesia dengan penubuhan PT Citadel Group di Jakarta.
Visi strategik Citadel Group menjangkau pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) dengan syarikat itu komited untuk menerajui projek pembangunan tanah transformatif dan pendigitalan, termasuk pembinaan kawasan kediaman.
Inisiatif itu disahkan Otoritas Ibu Kota Nusantara yang menggariskan dedikasi kumpulan untuk memupuk pertumbuhan jangka panjang dan kerjasama di Indonesia.
Pengarah Urusan Citadel Group, Fred Chan berkata, penglibatan kumpulan itu dalam Nusantara mewakili lebih daripada sekadar pelaburan kerana ia akan memupuk inovasi serta mengukuhkan hubungan serantau.
"Di Citadel, kami didorong oleh misi untuk mencipta peluang yang memberi kesan yang meningkatkan komuniti dan membentuk masa depan yang lebih cerah untuk ASEAN," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, anak syarikatnya, Citadel Technologies mencapai dua pensijilan berprestij—ISO 9001:2015 untuk Sistem Pengurusan Kualiti dan ISO 27001:2022 bagi Pengurusan Keselamatan Maklumat.
Pensijilan itu mengesahkan komitmen kumpulan terhadap kecemerlangan, keselamatan dan kebolehpercayaan dalam menyampaikan transformasi digital termaju dan rumusan pengurusan kekayaan.
Sambil mengembangkan jejak serantaunya, Citadel Technologies terus menjalin kerjasama yang memberi impak di Malaysia.
Projek-projek ini menunjukkan keupayaan kumpulan untuk menggabungkan inovasi teknologi dengan sumbangan masyarakat. - DagangNews.com








