CIMB, PETRONAS bekerjasama lancar Kad Debit Visa baharu, beri pulangan tunai menerusi pembelian petrol | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB, PETRONAS bekerjasama lancar Kad Debit Visa baharu, beri pulangan tunai menerusi pembelian petrol

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - CIMB Bank Berhad (CIMB) dan PETRONAS Dagangan Berhad menjalinkan kerjasama menerusi pelancaran Kad Debit CIMB PETRONAS Visa baharu yang menawarkan penjimatan melalui pulangan tunai bagi pembelian petrol.

 

Kad baharu itu meluaskan barisan kad petrol CIMB, selain melengkapkan Kad Kredit CIMB PETRONAS Visa sedia ada. Pelanggan yang memiliki kedua-dua kad tersebut boleh menikmati jumlah pulangan tunai sehingga RM2,000 setahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu berkata, kad baharu itu direka khusus untuk membantu pelanggan menjimatkan perbelanjaan harian mereka.

 

“Kad Debit CIMB PETRONAS Visa ini akan membantu pelanggan CIMB dan PETRONAS memberi nilai bagi setiap ringgit yang dibelanjakan, khususnya dalam kos bahan api dan perbelanjaan berkaitan kenderaan. 

 

"Dengan ini, kami bukan sahaja memberi nilai tambahan kepada pelanggan, tetapi juga membantu mereka membina ketahanan kewangan yang lebih kukuh serta meningkatkan kualiti hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, kolaborasi itu adalah kesinambungan daripada kerjasama terdahulu antara CIMB dan PETRONAS dalam pelancaran kad kredit, sekali gus membolehkan dua syarikat korporat utama Malaysia menawarkan rumusan kewangan yang memberi impak positif kepada masyarakat.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PETRONAS Dagangan, Azureen Azita Abdullah berkata, pelancaran kad itu mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak untuk menawarkan nilai tambah dan kemudahan kepada pengguna.

 

“Kad ini direka dengan teliti untuk membantu pelanggan mengurus perbelanjaan harian mereka dengan penjimatan bagi pembelian minyak dan barangan di Kedai Mesra, di samping menawarkan ganjaran tambahan apabila dihubungkan dengan aplikasi Setel,” katanya.

 

Pengurus Negara Visa Malaysia, Previn Pillay pula menegaskan, segmen bahan api merupakan antara perbelanjaan terbesar rakyat Malaysia, namun ramai pengguna masih membuat bayaran secara tunai di stesen minyak.

 

“Kad Debit CIMB PETRONAS Visa ini, bersama kad kredit, membuka peluang besar untuk mendigitalkan transaksi bahan api — menjadikan pembayaran lebih pantas, selamat dan lancar, disokong oleh rangkaian global Visa,” katanya.- DagangNews.com