KUALA LUMPUR 30 Jun - Chin Hin Group Bhd mengumumkan pelan peralihan kepimpinan di seluruh ekosistem syarikat tersenarainya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesinambungan penggantian dan menyokong fasa pertumbuhan institusi seterusnya.
Di bawah pelan itu, pengasas kumpulan, Datuk Seri Chiau Beng Teik akan beralih daripada peranannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Chin Hin Group untuk dilantik sebagai Pengasas dan Pengerusi Emeritus kumpulan.
Beliau turut akan memegang jawatan Pengerusi Emeritus bagi Chin Hin Group Property Bhd, Signature International Bhd, Fiamma Holdings Bhd dan Ajiya Bhd.
Dalam kapasiti baharu itu, Chiau Beng Teik akan terus memberikan nasihat strategik jangka panjang serta bimbingan kepada kepimpinan kumpulan bagi memastikan Chin Hin terus berpaksikan disiplin dan asas yang dibinanya sejak penubuhan syarikat.

Serentak itu anak lelakinya, Datuk Wira Chiau Haw Choon dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif bagi Chin Hin Group, Chin Hin Group Property, Ajiya, Signature International dan Fiamma Holdings.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Pemasaran dari Universiti Deakin, Australia itu menyertai kumpulan pada 2006 ketika berusia 22 tahun sebelum dilantik ke Lembaga Pengarah sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 23 Januari 2015.
Sepanjang lebih dua dekad bersama Chin Hin, beliau memainkan peranan penting dalam mentransformasikan syarikat daripada perusahaan milik keluarga kepada kumpulan bersepadu yang diurus secara profesional dan pelbagai, menerajui pelbagai fasa pengembangan, pengambilalihan, integrasi dan transformasi operasi, selain memperkukuh ekosistem IntraBuild milik kumpulan.
Langkah Dirancang Teliti
Pencapaiannya turut diiktiraf di peringkat nasional apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang EY Entrepreneur Of The Year Malaysia pada 2017, sekali gus menjadi rakyat Malaysia termuda menerima anugerah berprestij itu pada usia 33 tahun.

Pengiktirafan itu mencerminkan peranannya dalam mengubah Chin Hin daripada sebuah perniagaan perdagangan bahan binaan kepada kumpulan bersepadu tersenarai di Pasaran Utama yang diurus secara profesional.
Lembaga Pengarah Chin Hin berkata, penyusunan semula institusi itu merupakan langkah yang dirancang secara teliti dalam perjalanan penggantian kepimpinan jangka panjang kumpulan.
"Ia mencerminkan kematangan struktur kepimpinan Chin Hin dan proses penginstitusian berterusan ketika kumpulan memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
"Ia bukan perubahan arah, sebaliknya kesinambungan kepada pelan jangka panjang yang telah dirangka," menurut kenyataan itu.
Menurut syarikat, memasuki lembaran baharu pertumbuhan, Chin Hin kekal memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti pelaksanaan, penambahbaikan margin, pengurusan modal yang berhemat, tadbir urus yang lebih kukuh, transformasi digital dan kemampanan, berteraskan kekuatan teras serta budaya "One Vision, One System, One Culture".
Shelly Chiau perluas peranan eksekutif ke atas Ajiya, Fiamma
Bagi memperkukuh kesinambungan kepimpinan di seluruh rangka kerja korporat kumpulan, Pengarah Eksekutif Chin Hin Group, Chin Hin Group Property dan Signature International, Shelly Chiau Yee Wern akan memperluaskan tanggungjawabnya ke Ajiya dan Fiamma Holdings.
Langkah itu bertujuan menyelaras integrasi merentasi platform syarikat-syarikat di bawah kumpulan.

Peralihan kepimpinan tersebut disokong oleh kedudukan kewangan yang kukuh serta kehadiran pasaran di 12 negara.
Sehingga 31 Disember 2025, Chin Hin mencatat nisbah penggearan bersih terkawal sebanyak 0.53 kali.
Prospek pendapatan masa hadapan kumpulan kekal berdaya tahan, disokong oleh buku tempahan pembinaan bernilai RM2.10 bilion, jualan pembangunan hartanah belum dibilkan sebanyak RM2.18 bilion serta tunggakan tempahan di segmen Home & Living yang dianggarkan bernilai RM1.28 bilion.
Ke hadapan, model perniagaan Chin Hin kekal berpaksikan empat kecekapan terasnya iaitu bahan binaan, kejuruteraan pembinaan, pembangunan hartanah serta rumusan rumah dan gaya hidup. - DagangNews.com








