KUALA LUMPUR 19 Jun — Hong Leong Industries Berhad dijangka mencatat pertumbuhan jualan motosikal pada FY27 walaupun industri itu semakin kompetitif dengan kemasukan agresif pengeluar dari China.
Menurut analisis CGS International (CGSI), lambakan kenderaan negara tersebut dinilai sebagai berpotensi tinggi menekan pegangan pasaran pemain tempatan sedia ada dengan saingan yang amat sengit.
Bagaimanapun prospek kumpulan itu masih positif didorong oleh jangkaan peningkatan minat pengguna menjelang tahun pilihan raya umum (PRU), dan disebabkan pengurangan kuota subsidi petrol RON95.
"Di samping itu, strategi Hong Leong Industries berusaha memperkukuh campuran jualan melalui model motosikal premium dengan kadar margin lebih tinggi turut membantu kumpulan tersebut," jelasnya.
Selain itu tambah CGSI, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jualan motosikal di Malaysia kelazimannya mencatat pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) semasa tahun berlangsungnya PRU.
Justeru, di sebalik cabaran persaingan daripada pengeluar China, firma itu berkata risiko lain yang perlu diberi perhatian ialah permintaan motosikal kemungkinan lebih lemah daripada jangkaan.

Pihak pengurusan Hong Leong Industries menyasarkan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi dalam beberapa tahun akan datang menerusi inisiatif pertumbuhan dalam segmen motosikal dan jubin.
"Kumpulan itu juga sedang memperbaiki campuran jualan dengan memperkenalkan lebih banyak model motosikal berkuasa tinggi bagi meningkatkan pegangan pasaran dalam segmen premium," kata CGSI.
Segmen berkenaan ujar firma tersebut, mampu menawarkan margin yang lebih tinggi dan dijangka menyokong pengembangan margin keuntungan serta pertumbuhan pendapatan bagi FY26 hingga FY28.
Sementara itu jelasnya, dalam segmen jubin pula, kilang pengeluaran jubin secara automatik bersaiz besar baharu yang dikendalikan oleh Hong Leong Industries dijadual mula beroperasi pada FY27.
Kemudahan ini ujar CGSI, menghasilkan jubin bersaiz besar yang mampu meningkatkan purata harga jualan (ASP) 20%, sekali gus memperkukuh margin dan menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan.
"Pada masa sama, kumpulan aktif menilai peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam segmen perniagaan berkaitan dan bukan berkaitan yang ada nilai serta asas keuntungan," katanya.
Prospek Kumpulan Kekal Menarik
Masa pelaksanaan namun masih belum dapat dipastikan, dan kedudukan tunai bersih kukuh Hong Leong Industries bersamaan 30% daripada nilai pasaran syarikat memberi ruang pembayaran dividen tinggi.
Setakat Mac 2026, kumpulan itu mempunyai tunai bersih RM1.9 bilion atau RM5.93 sesaham, dan CGSI turut melihat potensi penarafan semula menerusi penyertaan dalam Program Value Up Bursa Malaysia.
Secara keseluruhan, prospek kumpulan tersebut kekal menarik kerana strategi peningkatan campuran produk premium dan keupayaannya mengembangkan pegangan pasaran sebagai peneraju industri semasa.
"Keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dimiliki Hong Leong Industries membolehkan Yamaha menguasai lebih 50% pasaran motosikal Malaysia berbanding hanya 8% di peringkat global," ujarnya.
Justeru, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) RM26.30 sesaham selepas diambil kira kedudukan tunai, dan dividen 7% hingga FY28. - DagangNews.com








