CapitaLand Malaysia Trust terus cari peluang pemerolehan aset industri dan logistik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CapitaLand Malaysia Trust terus cari peluang pemerolehan aset industri dan logistik

KUALA LUMPUR 23 Jan - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) akan terus mencari peluang pemerolehan dalam aset industri dan logistik di seluruh Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurus Amanah CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd, Tan Choon Siang berkata, syarikat kini aktif menguruskan kunci kira-kira untuk memberi ruang bagi sebarang pemerolehan dan jika ada pilihan, ia berminat untuk melaburkan semula sebahagian modal dalam sektor industri dan logistik.

 

"Kami sedang melihat beberapa peluang, jadi kami berharap dapat memuktamadkannya pada tahun 2025," katanya dalam satu taklimat maya semalam, seperti laporan The Edge.

 

Setakat 31 Disember 2024, nisbah antara jumlah hutang dengan ekuiti atau aset syarikat CLMT adalah sedikit lebih rendah pada 41.3% berbanding 42.4% pada 2023, kekal di bawah had peraturan sebanyak 50%.

 

Mengulas tentang manfaat kerjasama dengan syarikat induknya, CapitaLand Group, Choon Siang berkata, syarikat terus berminat untuk memperluaskan kehadirannya di Johor.

 

"Seperti yang diketahui, CapitaLand mempunyai portfolio besar di Singapura. Jika ada sebarang pergerakan pelaburan atau pemindahan aktiviti industri sedia ada dari Singapura ke Johor, kami pasti mempunyai maklumat mengenainya.

 

"Sehubungan itu, peluasan operasi ke Johor adalah sebahagian daripada strategi besar kami di Singapura," jelasnya.

 

Beliau menambah, kebanyakan pemerolehan yang akan dilakukan oleh CapitaLand Malaysia Trust akan melibatkan harta sedia ada yang sudah siap dan beroperasi.

 

Katanya, pemerolehan pembangunan baharu kurang menguntungkan pelabur kerana modal yang dilaburkan dalam projek di peringkat pembangunan tidak menghasilkan sebarang pulangan kepada pemegang unit sepanjang tempoh tertentu.

 

Sejak Disember 2022, CLMT memperoleh empat aset berkaitan industri dan logistik, serta satu aset runcit, iaitu Queensbay Mall.

 

REIT tersebut juga telah menyelesaikan empat inisiatif penambahbaikan aset pada tahun 2024, yang semuanya melepasi sasaran pelaburan dalaman mereka dan melebihi kos ekuiti 7%. - DagangNews.com