Cadangan penempatan persendirian Southern Cable dilihat "neutral", dipacu peningkatan permintaan pasaran bagi kabel voltan tinggi - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadangan penempatan persendirian Southern Cable dilihat "neutral", dipacu peningkatan permintaan pasaran bagi kabel voltan tinggi - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Okt - Cadangan penempatan persendirian Southern Cable Group Berhad dilihat sebagai neutral dan ia dipacu peningkatan permintaan pasaran bagi kabel voltan tinggi, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB). 

 

Katanya, kumpulan itu mencadangkan penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham terbitannya dengan harga terbitan akhir akan ditentukan kemudian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga penempatan persendirian itu adalah berdasarkan purata harga pasaran wajaran volum lima hari dagangan (VWAP), tertakluk kepada diskaun sehingga 10%.

 

"Pada asalnya, syarikat merancang untuk membiayai perbelanjaan modal (capex) sepenuhnya melalui dana dalaman, namun memilih untuk melaksanakan pengumpulan dana ekuiti selepas mempertimbangkan dua faktor utama.

 

“Pertama, keperluan capex yang lebih tinggi akibat rancangan pengembangan yang lebih agresif dan kedua, aliran pesanan yang kukuh, yang memerlukan pemeliharaan dana dalaman bagi tujuan modal kerja,” katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB berkata, Southern Cable pada mulanya bercadang untuk memasang satu talian voltan tinggi, namun kini telah memperluas pelan tersebut kepada dua talian dan tambahan sebuah gudang di kilang baharu syarikat itu.

 

Katanya, langkah pengembangan itu bertujuan memenuhi permintaan meningkat bagi kabel voltan tinggi daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan pusat data, selain menyokong kemasukan kumpulan ke dalam segmen kabel voltan ultra tinggi — pasaran khusus yang ketika ini tiada pengeluar domestik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aliran pesanan berterusan daripada TNB dan sektor swasta akan memerlukan modal kerja yang besar untuk pembelian bahan mentah, khususnya logam, sekali gus mengukuhkan keputusan pengurusan untuk menjimatkan dana dalaman bagi operasi.

 

Firma itu mengekalkan saranan "beli" terhadap dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.65 sesaham. - DagangNews.com