KUALA LUMPUR 23 Feb - Cadangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) supaya setiap jawatan kuasa berkaitan sebut harga perolehan perlu melibatkan ahli rentas perkhidmatan dilihat merumit dan memanjangkan proses.
Isu yang bakal timbul adalah sejauh mana pegawai atau ahli daripada cabang perkhidmatan lain tersebut benar-benar arif berhubung perolehan aset yang dibuat.
Ini kerana setiap ahli yang terlibat mesti mempunyai pemahaman tentang sesuatu aset meliputi penggunaan, konsep, teknikal serta tujuan perolehan dan bukan sekadar membaca katalog.
Penganalisis pertahanan, Muhamad Fuad Mat Noor berkata, penyertaan ahli daripada cabang perkhidmatan lain juga hanya menambah bilangan ahli jawatankuasa manakala proses menjadi remeh.

Jelas beliau, apa yang sepatutnya dilakukan adalah memastikan setiap pegawai yang terlibat dalam proses sebut harga daripada cabang perkhidmatan sama tetapi benar-benar arif dalam aspek teknikal, kewangan dan pengurusan.
“Persoalannya jika sebut harga bagi kelengkapan tentera laut misalnya, adakah pegawai yang terlibat daripada tentera udara dan darat arif tentang aset yang hendak dibeli?
“Contohnya jika sebut harga membeli sebuah kapal selam, dia (pegawai terlibat) perlu banyak membaca dan menyelidik tentang kapal selam sedangkan kepakaran dia pegawai tentera darat.
“Proses ini akan menjadi rumit dan tidak mudah sepertimana yang dibayangkan oleh pembuat dasar di kementerian.

“Akan timbul pertikaian sejauhmana ahli jawatankuasa benar-benar berwibawa sekiranya dia bukan pakar dalam bidangnya.
“Cadangan ini sendiri menunjukkan pihak awam yang membuat dasar di MINDEF tidak faham tentang apa objektif sebenar dalam proses sebut harga,” ujarnya kepada DagangNews ketika dihubungi.
Muhammad Fuad mengulas berhubung cadangan kerajaan menambah baik sistem dan pendekatan perolehan ATM bagi beberapa perkara terutamanya dalam soal sebut harga.
Antara yang dipersetujui dalam rundingan MINDEF bersama Kementerian Kewangan (MOF) berhubung pelepasan dana susulan pembekuan perolehan ATM.
Ini termasuk memastikan setiap jawatan kuasa berkaitan sebut harga perolehan perlu terdiri daripada anggota atau ahli rentas perkhidmatan.


Selain itu, kaedah tender terbuka antarabangsa juga digunakan jika membabitkan perolehan pembekal peralatan dari luar negara.
Ini bagi mengelak manipulasi harga yang keterlaluan apabila proses tender antarabangsa melibatkan ejen tempatan.
Tentang proses tender terbuka antarabangsa pula kata Muhammad Fuad, MINDEF sewajarnya melaksanakan proses tersebut sepenuhnya dengan pengeluar tanpa melalui ejen tempatan atau orang tengah.
Sekiranya tender masih perlu melalui ejen syarikat pengeluar yang berada di Malaysia, pihak pengeluar mesti menetapkan satu julat harga yang berpatutan bagi mengelak manipulasi.
“Ada pengeluar dan pembekal luar negara yang telah melantik ejen tempatan bagi memudahkan sebarang urusan di sini.


“Jadi, kalau melalui ejen tempatan mesti ada sefahaman daripada pengeluar untuk mengemaskini anggaran kos sesuatu kelengkapan atau peralatan kepada MINDEF pada julat harga tertentu.
“Pihak pengeluar asal atau OEM kena tetapkan satu sebut harga. Ini memudahkan proses dan ketelusan kepada pihak-pihak yang terlibat semasa memutuskan tender termasuk MOF,” ujar Muhammad Fuad.
Tambah beliau, apa pun usaha penambahbaikan ingin dilakukan MINDEF, ia harus bersifat memudahkan tender dipantau, ketelusan dan integriti urusan. - DagangNews.com








