KUALA LUMPUR 24 Okt - Bursa Malaysia Berhad melancarkan Skuad ANTI-SCAM bersempena pembukaan Bursa Marketplace Fair 2025 di Mayang Mall, Kuala Terengganu, sebagai langkah proaktif memerangi peningkatan kes penipuan pelaburan di negara ini.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada program Bursa Smart Moves, yang menumpukan kepada usaha mengukuhkan pendidikan kewangan, memperkasakan masyarakat, serta memperluas jangkauan kesedaran melalui aktiviti komuniti.
Sebagai permulaan, Bursa Malaysia akan bekerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi melatih 100 pelajar universiti sebagai duta kesedaran penipuan kewangan.
Mereka akan diberikan latihan asas merangkumi literasi kewangan, mengenal pasti penipuan dan tip pencegahan penipuan.
Pelajar berkenaan kemudiannya akan melaksanakan program outreach komuniti bagi mendidik lebih 1,000 individu, termasuk warga emas, pesara, dan pelabur baharu, melalui sesi bersemuka dan bengkel komuniti, pengedaran risalah dan panduan pencegahan scam, serta kempen kesedaran digital di media sosial dan aplikasi mesej.
Kempen pertama dijadual bermula Disember 2025, dan dijangka selesai pada Februari 2026.
Majlis perasmian itu disempunakan Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak; Pengarah Kumpulan Komersial & Liputan Pasaran Bursa Malaysia, Stephanie Tan Kar Mun; Pemangku Pengarah Pasaran Modal Islam Bursa Malaysia, Noorsuriani Muhamed serta wakil daripada UniSZA, Dr. Nor Mazlina Abu Bakar.
Stephanie berkata, pendidikan kewangan merupakan satu bentuk perlindungan, dengan melengkapkan masyarakat dengan ilmu dan kesedaran melalui inisiatif seperti ‘Skuad ANTI-SCAM’, individu dapat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan kewangan yang semakin canggih.
"Pendidikan komuniti dan pencegahan awal merupakan kunci utama dalam mengurangkan kes penipuan pelaburan, di samping memperkukuh keupayaan masyarakat untuk bertindak balas dengan lebih pantas terhadap ancaman scam," katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com








