Bumi Armada dijangka kembali pulih selepas catat prestasi lemah FY25 disokong buku tempahan RM7.9 bilion – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bumi Armada dijangka kembali pulih selepas catat prestasi lemah FY25 disokong buku tempahan RM7.9 bilion – MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac – Meskipun prestasi FY25 Bumi Armada Berhad berada di bawah jangkaan, MBSB Research masih mengekalkan saranan Beli terhadap saham syarikat dengan sasaran harga RM0.44. 

 

Firma penyelidikan itu berkata saranan itu mencerminkan keyakinan mereka terhadap potensi Bumi Armada untuk pulih dan terus berkembang pada masa akan datang.

 

Prestasi FY25 menyaksikan keuntungan bersih Bumi Armada sebanyak RM470.3 juta, turun 27.6 peratus berbanding RM649.3 juta pada FY24. Pendapatan pula merosot kepada RM1.59 bilion, turun 30.9 peratus daripada RM2.30 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Penurunan ini disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada kapal FSPO Armada Kraken dan Armada Olombendo.

 

Armada Kraken mengalami penurunan pendapatan susulan peralihan ke tempoh kontrak tahunan pada April 2025 dengan kadar sewa lebih rendah, manakala Armada Olombendo tidak lagi menyumbang pendapatan tambahan seperti pada FY24.

 

MBSB Resrach berkata walaupun FY25 agak merosot dan lemah, disiplin kewangan Bumi Armada kekal kukuh dengan syarikat berjaya menjana aliran tunai operasi RM1.04 bilion dan menamatkan FY25 dengan baki tunai RM1.32 bilion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Bumi Armada susut 31% kepada RM439 juta berikutan sumbangan dua kapal utama yang rendah pada FY25

 

“Pengurangan hutang sebanyak AS$63 juta turut mengurangkan kos faedah dan meningkatkan fleksibiliti syarikat untuk membiayai projek dan peluang pertumbuhan pada masa hadapan.

 

“Buku tempahan Bumi Armada kekal kukuh pada RM7.9 bilion, dengan opsyen lanjutan bernilai RM8.8 bilion. Ini memberi kepastian pendapatan jangka panjang terutamanya bagi kontrak FPSO yang mempunyai tempoh lama,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Prestasi operasi Bumi Armada juga baik dengan kapal milik syarikat beroperasi hampir 97 peratus masa manakala kapal milik rakan kongsi mencapai 99.98 peratus yang menunjukkan pengurusan kapal berjalan lancar.

 

MBSB melihat harga minyak global yang tinggi susulan konflik di Timur Tengah sebagai faktor positif untuk Bumi Armada kerana keadaan ini dijangka meningkatkan permintaan terhadap FPSO dan aset pengeluaran luar pesisir lain, sekali gus menyokong penggunaan aset dan pendapatan syarikat.

 

MBSB Research juga yakin pengurusan tunai yang berhati-hati, pengurangan hutang dan buku tempahan yang kukuh memberikan Bumi Armada daya tahan yang tinggi menghadapi cabaran pasaran. Pendekatan ini juga meletakkan syarikat dalam kedudukan untuk terus berkembang apabila wujud peluang baharu.

 

Secara keseluruhan, MBSB Research kekal optimis terhadap prospek Bumi Armada dalam jangka sederhana hingga panjang dengan berpandangan syarikat mampu memanfaatkan peluang pertumbuhan, meningkatkan penggunaan aset dan mengekalkan prestasi kewangan selagi harga minyak tinggi dan operasi FPSO terus stabil. - DagangNews.com