Langkah TNB sertai infrastruktur LNG perkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah TNB sertai infrastruktur LNG perkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang - CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Jun - Langkah terbaharu Tenaga Nasional Berhad (TNB) memasuki pembangunan infrastruktur gas asli cecair (LNG) dilihat mengukuhkan kedudukan strategik syarikat utiliti itu dalam sektor tenaga Malaysia, kata CGS International (CGSI).

 

Sehubungan itu firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan “TAMBAH” terhadap saham TNB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM16.60 sesaham, sambil terus melihat TNB sebagai pemacu utama dan penerima manfaat terbesar daripada perkembangan pesat sektor tenaga negara.

 

CGSI berkata, penilaian positif itu dibuat susulan pengumuman TNB memeterai Perjanjian Prinsip (Heads of Agreement) dengan Petronas Gas Bhd untuk membangunkan secara bersama terminal regasifikasi ketiga Malaysia di Lumut, Perak.

 

“Kami melihat perkembangan ini secara positif kerana ia mengukuhkan integrasi menegak TNB serta memastikan kedudukan strategik syarikat dalam rantaian bekalan gas Malaysia yang sedang berkembang,” katanya dalam satu laporan.

 

Menurut CGSI kerjasama tersebut juga akan meningkatkan jaminan bekalan bahan api bagi saluran projek Loji Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) TNB, termasuk loji Paka berkapasiti 1.4GW yang baru diperoleh serta cadangan Loji Janakuasa Kapar berkapasiti 2.1GW.

 

TNB RGT
Majlis pertukaran dokumen Komitmen Penjaminan Kapasiti RGT-3 antara TNB Fuel Sdn. Bhd. dan Petronas Gas Berhad pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur baru-baru ini. - Gambar/BERNAMA

 

Firma penyelidikan itu turut menekankan perubahan struktur yang sedang berlaku dalam pasaran gas Malaysia.

 

“Dengan pengeluaran gas domestik yang semakin berkurangan, import LNG kini menjadi sumber utama bagi pertambahan bekalan gas di Semenanjung Malaysia,” katanya.

 

CGSI berkata, di bawah rangka kerja Malaysia Electricity Supply Industry (MESI) 2.0, kapasiti penjanaan baharu dijangka beralih secara beransur-ansur kepada pengaturan bekalan bahan api yang diperoleh sendiri, walaupun mekanisme akhir masih dalam perbincangan.

 

“Dalam konteks ini, pemilikan infrastruktur regasifikasi menjadi semakin strategik pada pandangan kami,” katanya.

 

Walaupun usaha sama itu dijangka mewujudkan sumber pendapatan baharu, firma penyelidikan tersebut tidak menjangkakan sumbangannya akan memberi impak yang besar berbanding keseluruhan asas pendapatan TNB.

 

Sebaliknya, manfaat utama dilihat terletak pada aspek yang lebih strategik.

 

“Manfaat yang lebih besar adalah pengurangan risiko bekalan bahan api jangka panjang serta menyokong pertumbuhan kapasiti loji janakuasa CCGT pada masa hadapan,” katanya.

 

Bagi tempoh akan datang, CGSI melihat beberapa pemangkin yang berpotensi meningkatkan prestasi saham TNB, termasuk pertumbuhan permintaan elektrik daripada pusat data dan pelaksanaan perbelanjaan modal yang lebih pantas.

 

Selain itu kejayaan memperoleh projek tambahan berasaskan gas dan tenaga boleh diperbaharui, serta penambahbaikan operasi yang berterusan dalam segmen penjanaan elektrik syarikat juga berpotensi meningkatkan prestasi saham TNB. - DagangNews.com