Untung bersih Bumi Armada susut 31% kepada RM439 juta berikutan sumbangan dua kapal utama yang rendah pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Bumi Armada susut 31% kepada RM439 juta berikutan sumbangan dua kapal utama yang rendah pada FY25

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb – Bumi Armada Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM439 juta bagi tahun kewangan 2025, menyusut 31% berbanding RM634 juta pada tahun sebelumnya.

 

Penurunan itu kerana dua kapal utama, Armada Kraken dan Armada Olombendo memberi sumbangan lebih rendah dan tiada keuntungan khas daripada pelarasan nilai kapal seperti tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata syarikat mencatatkan keuntungan bersih RM80.1 juta pada suku keempat FY25, menurun daripada RM96.1 juta pada suku sebelumnya.

 

“Penurunan ini berlaku kerana hasil daripada syarikat berkaitan dan usaha sama menyusut, walaupun pendapatan operasi meningkat.

 

“Pendapatan keseluruhan Bumi Armada bagi tahun kewangan 2025 ialah RM1.59 bilion berbanding RM2.3 bilion pada 2024. Penurunan ini menjejaskan prestasi kewangan kumpulan sepanjang tahun,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Aliran tunai daripada aktiviti operasi mencapai RM1.03 bilion membolehkan syarikat mengurangkan hutang bersih sebanyak lebih 53 peratus. Kedudukan tunai akhir tahun juga kukuh pada RM1.3 bilion.

 

Bumi Armada mengumumkan dividen interim sebanyak satu sen sesaham, menandakan syarikat masih mampu memberi pulangan kepada pemegang saham walaupun keuntungan menurun.

 

Pada akhir suku keempat 2025, nilai kontrak tetap syarikat berjumlah RM7.9 bilion, termasuk beberapa kontrak dengan pilihan lanjutan, jumlah keseluruhan berpotensi meningkat kepada RM8.8 bilion.

 

Kumpulan berkata perniagaan utamanya adalah dalam dolar Amerika Syarikat dan pengukuhan ringgit Malaysia terhadap dolar memberi kesan negatif kepada keuntungan dan imbangan syarikat yang dilaporkan.

 

Pihak pengurusan menegaskan operasi armada kapal berjalan seperti dirancang sepanjang tahun, menyumbang lebih daripada RM1 bilion daripada aliran tunai operasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gary Christenson berkata prestasi kewangan yang semakin baik membolehkan syarikat aktif menawar projek baharu serta mengumumkan dividen interim kepada pemegang saham.

 

Bumi Armada menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pengendalian kapal pengeluaran terapung, penyelesaian gas terapung, pembinaan bawah laut dan perkhidmatan marin serta perkhidmatan kejuruteraan.- DagangNews.com