KUALA LUMPUR 24 Julai – Eco-Shop Marketing Berhad dijangka menikmati pertumbuhan kukuh dengan ramai pengguna berjimat yang beralih kepada peruncit harga rendah dalam suasana kos sara hidup tinggi.
Menurut RHB Research, strategi pengekalan harga jualan tetap kepada RM2.60 setiap produk serta pembukaan banyak cawangan baharu berpotensi terus menyokong pertumbuhan hasil dan keuntungan.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.82 daripada RM1.80, yang menawarkan kenaikan 22% serta jangkaan hasil dividen 2% bagi tahun kewangan 2027.
"Keputusan FY26 adalah sejajar dengan jangkaan apabila keuntungan bersih Eco-Shop meningkat kepada RM265 juta, didorong pertambahan cawangan baharu, dan pengembangan margin kasar," jelas firma itu.
Ujar RHB Research, pendapatan tahunan naik kepada RM2.9 bilion selepas 91 cawangan baharu dibuka sepanjang FY26, walaupun jualan kedai sama (SSSG) masih mencatatkan penyusutan kira-kira 10%.
Bagaimanapun, margin kasar berkembang lima mata peratusan hasil pelaksanaan kenaikan harga produk pada April 2025, sekali gus mengimbangi peningkatan kos operasi termasuk pelaksanaan gaji minimum.

Kempen pemasaran lebih berkesan, penstabilan bekalan produk serta kesan asas yang rendah turut menyaksikan keuntungan suku keempat naik kepada RM73 juta dengan margin Eco-Shop bertambah baik.
"Bagi FY27, kami menjangka momentum jualan terus kukuh apabila pemulihan SSSG berterusan, disokong jumlah transaksi pelanggan serta rancangan pembukaan lagi 100 cawangan baharu," kata RHB Research.
Walaupun pihak pengurusan berhati-hati dengan unjuran margin sekitar 33% berikutan risiko konflik di Timur Tengah, syarikat itu mempunyai kelebihan daya saing kerana mengekalkan harga produknya.
Sebarang tekanan terhadap margin boleh dikurangkan melalui pengoptimuman stok unit simpanan (SKU), peningkatan sumbangan produk jenama Eco-Shop sendiri dan kelebihan skala operasi semakin besar.
Sehubungan itu, RHB Research membuat pelarasan kecil terhadap unjuran keuntungan FY27 dan FY28 serta memperkenalkan unjuran FY29, sambil menilai model perniagaan memberi keterlihatan hasil.
"Bagaimanapun, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian pelabur ialah risiko reputasi syarikat dan kelewatan pelaksanaan pelan pembukaan cawangan baharu," jelasnya. - DagangNews.com








