KUALA LUMPUR 24 Julai - Kerajaan Sabah memohon kerajaan Persekutuan mewajibkan semua syarikat yang menjalankan operasi di negeri itu mengisytiharkan secara berasingan hasil yang dijana di Sabah, sebagai langkah memperkukuh ketelusan dalam rundingan berkaitan hak hasil negeri sebanyak 40% di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata langkah itu bertujuan mewujudkan kaedah pengisytiharan hasil dan cukai yang lebih jelas, khususnya bagi syarikat yang beroperasi di Sabah tetapi melaporkan hasil mereka di luar negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan surat kepada Kementerian Kewangan pada Februari dan Mac tahun ini bagi memohon satu ketetapan rasmi berkaitan mekanisme pengisytiharan hasil berkenaan.
"Dalam surat tersebut, antara perkara yang kami tekankan ialah keperluan kepada ketetapan rasmi bagi menentukan kaedah pengisytiharan hasil dan cukai oleh syarikat Sabah, serta syarikat bukan Sabah yang beroperasi di Sabah tetapi hasilnya diisytiharkan di luar Sabah," katanya lapor Malay Mail.
Menurut Masidi, mekanisme yang lebih tersusun diperlukan bagi memastikan pematuhan yang seragam selain membolehkan hasil negeri dikesan dan disahkan secara telus serta boleh diaudit.
Katanya, langkah itu juga penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau perbezaan tafsiran pada masa hadapan, terutama dalam menentukan jumlah hasil yang menjadi asas kepada pengiraan hak kewangan Sabah.
Kutipan di Peringkat Sumber
Isu tersebut dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah susulan usul penangguhan oleh ADUN lantikan, Datuk Roger Chin Ken Fong, yang mencadangkan pelaksanaan mekanisme kutipan di peringkat sumber terhadap hasil yang dijana di negeri itu.
Chin berkata, cadangan berkenaan bukan bertujuan mengubah pihak yang mempunyai hak terhadap hasil cukai seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya untuk memastikan Sabah mempunyai akses kepada maklumat hasil yang boleh disahkan secara bebas sebelum pengiraan bahagian hasil negeri dibuat.
Beliau berkata, ketika ini Sabah tidak mempunyai mekanisme bebas bagi mengesahkan angka yang digunakan untuk menentukan jumlah Pemberian Khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pelaksanaan rangka kerja kutipan di sumber akan membolehkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mempunyai set data yang sama serta disahkan, sekali gus memudahkan rundingan mengenai jumlah Pemberian Khas.
Pemisahan Perbincangan
Sementara itu, Masidi berkata kerajaan Sabah bersedia meneliti cadangan tersebut berdasarkan perkembangan standard tadbir urus semasa, namun sebarang perubahan terhadap sistem kutipan cukai perlu mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, pengurusan cukai ketika ini berada di bawah bidang kuasa agensi Persekutuan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"Oleh itu, sebarang perubahan terhadap mekanisme kutipan hasil memerlukan penelitian undang-undang yang menyeluruh serta persetujuan kerajaan Persekutuan," katanya.
Bagaimanapun, Masidi menegaskan kajian terhadap mekanisme kutipan hasil baharu perlu dipisahkan daripada rundingan mengenai hak kewangan Sabah di bawah Perlembagaan.
Menurutnya, Pemberian Khas Sabah kekal sebagai pelaksanaan hak kewangan negeri yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak bergantung kepada pelaksanaan sebarang mekanisme kutipan hasil baharu.
Langkah memperincikan sumber hasil negeri dilihat penting dalam memastikan asas data yang lebih tepat dan telus, sekali gus membantu memperkukuh proses perbincangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan berkaitan hak kewangan Sabah. - DagangNews.com








