United Asiapac Energy dinilai 24 sen sesaham, prospek pertumbuhan dijangka kukuh selepas IPO - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

United Asiapac Energy dinilai 24 sen sesaham, prospek pertumbuhan dijangka kukuh selepas IPO - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Julai - United Asiapac Energy Bhd (UAEB) dijangka menawarkan potensi pertumbuhan yang menarik selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, disokong model perniagaan dalam segmen khusus perkhidmatan intervensi telaga minyak dan gas serta pelan pengembangan operasi yang agresif.

 

MBSB Research berkata, walaupun tidak memberikan penarafan terhadap saham syarikat, ia menetapkan nilai saksama sebanyak RM0.24 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 14.2 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 1.7 sen.

 

Menurutnya, penilaian itu mewakili premium berbanding syarikat setara tempatan yang diniagakan pada sekitar 7 kali PER, namun masih berada pada diskaun berbanding syarikat antarabangsa yang didagangkan pada purata 17.8 kali PER.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan keuntungan bersih UAEB akan mengatasi kebanyakan syarikat setara dalam industri.

 

"Pada masa sama, sekiranya saham UAEB disenaraikan pada penilaian hampir kepada syarikat OGSE tempatan, ia berpotensi menawarkan nisbah PEG yang sangat menarik, sekali gus mencerminkan potensi pertumbuhan kukuh pada penilaian yang masih munasabah," katanya dalam nota penyelidikan.

 

UAEB syarikat 100% milik bumiputera dan berpangkalan di Kemaman, Terengganu serta Labuan bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Julai 2026 menerusi tawaran awam permulaan (IPO) yang melibatkan penerbitan 139.22 juta saham baharu.

 

Daripada jumlah itu, 37.5 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia serta pengarah dan kakitangan yang layak, manakala baki 101.72 juta saham ditawarkan kepada pelabur terpilih.

 

MBSB Research berkata, premium penilaian yang diberikan adalah berasaskan beberapa faktor utama termasuk pemilikan sendiri peralatan "downhole" khusus yang membolehkan syarikat mengurangkan kos sewaan pihak ketiga serta meningkatkan margin keuntungan.

 

asiapac

 

Hutang Rendah

Selain itu, UAEB mempunyai kedudukan hutang yang rendah berbanding kebanyakan pemain OGSE tempatan yang memiliki pelantar atau kapal sokongan, di samping merekodkan aliran tunai operasi bersih sebanyak RM10 juta pada FY25, sekali gus membuktikan keupayaan syarikat menjana tunai daripada keuntungan operasi.

 

Menurut MBSB Research lagi, fokus UAEB dalam segmen khusus seperti "fishing services", "plug and abandonment (P&A)" dan penyelesaian integriti telaga juga meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perkembangan pasaran intervensi telaga di Malaysia.

 

Bagaimanapun, penilaian tersebut masih mengambil kira diskaun berbanding pemain global memandangkan operasi UAEB masih tertumpu di Malaysia, mempunyai permodalan pasaran yang lebih kecil serta tidak memiliki portfolio teknologi dan paten seluas syarikat antarabangsa.

 

Sementara itu UAEB merancang menggunakan hasil IPO bagi memperkukuh keupayaan operasi syarikat termasuk menaik taraf kemudahan di Kemaman, menambah inventori peralatan intervensi telaga serta membeli kemudahan "break-out" sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga.

 

UAEB juga merancang memperluaskan penawaran perkhidmatannya dengan memperkenalkan "E-Line, Slickline dan Wireline", selain menyediakan perkhidmatan "well cleanout" bagi melengkapkan penyelesaian intervensi telaga secara menyeluruh.

 

Di samping itu, syarikat akan meningkatkan kehadiran di Sarawak dan Sabah bagi memanfaatkan pertumbuhan aktiviti penerokaan medan baharu serta peningkatan keperluan perkhidmatan "plug and abandonment (P&A)" bagi medan minyak matang di Malaysia Timur.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan pertumbuhan hasil UAEB sebanyak 9.1% adalah selaras dengan pelan pengembangan syarikat selepas IPO.

 

Menurutnya, model perniagaan syarikat yang memberi tumpuan kepada segmen khusus menjadikan prestasinya kurang dipengaruhi oleh turun naik perniagaan lain seperti yang dialami syarikat OGSE bersepadu.

 

"Dari segi pertumbuhan keuntungan, UAEB dijangka mengatasi kebanyakan syarikat setara, dengan pesaing terdekat ialah Weatherford yang diunjurkan mencatat pertumbuhan 15%, diikuti Schlumberger (13%) dan Uzma (12%).

 

"Kami juga menjangkakan syarikat mencatat pulangan ke atas aset (ROA) yang kukuh hasil model operasi berintensiti aset rendah, manakala pulangan ke atas ekuiti (ROE) kekal sederhana berikutan penggunaan hutang yang rendah," katanya. - DagangNews.com