KUALA LUMPUR 24 Julai – Kerajaan memberikan pengecualian sementara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi beberapa jenis baja pertanian sehingga akhir 2027 sebagai langkah mengurangkan tekanan harga input pertanian susulan ketidaktentuan geopolitik global.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata pengecualian SST sementara itu melibatkan baja pertanian seperti rock phosphate (RP) dan magnesium sulfat yang dilaksanakanhingga 31 Disember 2027 bagi membantu mengurangkan tekanan harga.
KPKM berkata, konflik geopolitik khususnya di Timur Tengah telah mencetuskan kejutan ekonomi global dengan kesan langsung terhadap kenaikan harga input pertanian utama.
Antara baja yang terkesan ialah RP, diammonium fosfat (DAP) dan kalium klorida yang merupakan antara input penting dalam sektor pertanian.
Berdasarkan perbandingan harga baja bagi Jun 2026 berbanding Februari 2026, kenaikan harga bagi input pertanian berkenaan direkodkan antara 2.89% hingga 25.11%.
“Pengecualian SST bagi baja pertanian itu adalah antara langkah mitigasi KPKM dalam menangani risiko kenaikan harga input pertanian susulan ketidaktentuan geopolitik global, di samping usaha memastikan bekalan baja kekal mencukupi untuk sektor tanaman makanan negara,” katanya menjawab soalan lisan Senator Datuk Rosni Binti Sohar di Dewan Negara berhubung strategi mitigasi kementerian terhadap risiko kenaikan dan ketidaktentuan harga baja serta implikasinya.
KPKM menjelaskan, pembekalan dan penggunaan baja bagi industri pertanian secara umum melibatkan dua sektor utama iaitu sektor perladangan seperti tanaman kelapa sawit dan getah, serta sektor tanaman makanan seperti padi, sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Bagi sektor tanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan, pemantauan bekalan serta penggunaan baja berada di bawah tanggungjawab KPKM, manakala sektor perladangan pula di bawah tanggungjawab Kementerian Perladangan dan Komoditi,” katanya.
Kos pengeluaran tanaman meningkat hingga 13%
Menurut KPKM, kenaikan harga baja tertentu telah memberi kesan kepada kos pengeluaran di peringkat ladang khususnya bagi tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Berdasarkan pemantauan Jabatan Pertanian (DOA), peningkatan harga baja menyebabkan kos pengeluaran ladang bagi tanaman berkenaan dianggarkan meningkat sekitar 3% hingga 13%.
“Sehubungan itu, KPKM mengambil beberapa langkah mitigasi bagi memastikan bekalan baja sektor pertanian kekal stabil dan mencukupi, termasuk pemberian pengecualian SST sementara bagi baja pertanian tertentu,” katanya.

Bekalan baja padi dijamin melalui perolehan awal
Selain pengecualian SST, KPKM turut memantau stok dan penggunaan bahan mentah secara berterusan bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku risiko kekurangan bekalan atau kelewatan penghantaran.
Bagi menjamin bekalan baja tanaman padi, KPKM menerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memastikan keperluan baja di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) dapat dipenuhi.
Kementerian berkata, perancangan perolehan lebih awal dilaksanakan bagi memastikan stok bahan mentah kritikal mencukupi untuk menangani risiko gangguan pasaran antarabangsa.
“Strategi itu membolehkan stok baja monoammonium fosfat (MAP) mencukupi bagi keseluruhan tahun 2026,” katanya.
Kerajaan pelbagaikan sumber import bahan mentah baja
KPKM berkata, komitmen pembekalan daripada pembekal tempatan dan antarabangsa turut diperoleh bagi bahan mentah utama seperti urea, RP dan muriate of potash (MOP) bagi menjamin kesinambungan bekalan sehingga akhir 2026.
Antara langkah yang diambil ialah kemasukan bekalan tambahan sebanyak 8,600 tan metrik batu fosfat dari Australia yang dirancang pada Jun 2026.
Selain itu, kerajaan turut mempelbagaikan sumber import bekalan diammonium fosfat iaitu bahan mentah yang paling terkesan akibat ketidaktentuan pasaran global dan sekatan perdagangan.
RUU Baja perkukuh kawal selia bekalan input pertanian
Sebagai langkah jangka panjang, DOA sedang menggubal Rang Undang-Undang Baja (RUU Baja) bagi memperkukuh kawal selia serta kesinambungan bekalan baja negara secara menyeluruh.
KPKM berkata, sesi libat urus bersama pihak industri baja sedang giat dijalankan, termasuk mengambil kira keperluan mewujudkan peruntukan berkaitan stok penimbal baja.
Kementerian menegaskan bahawa pelaksanaan langkah mitigasi secara proaktif itu penting bagi memastikan rantaian bekalan input pertanian negara, khususnya baja, sentiasa stabil dan mencukupi demi kelangsungan bekalan makanan negara. - DagangNews.com








