Sukuk Global Malaysia AS$1.5 bilion terlebih langgan 4.7 kali, kata Kementerian Kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sukuk Global Malaysia AS$1.5 bilion terlebih langgan 4.7 kali, kata Kementerian Kewangan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Julai – Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kewangan Islam dunia dengan terbitan Sukuk Global berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.14 bilion) menerima permintaan tinggi.

 

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), sukuk itu terlebih langgan 4.7 kali, dan membolehkan kerajaan memperoleh kadar penetapan harga rendah dalam sejarah penerbitan sukuk global negara.

 

Buku tempahan memuncak melebihi AS$9.5 bilion (RM38.89 bilion), mencerminkan keyakinan pelabur luar terhadap prospek ekonomi Malaysia, kredibiliti dasar kerajaan serta komitmen fiskal negara.

 

"Terbitan berkenaan merangkumi Sijil Amanah dengan tempoh matang 5.75 tahun bernilai AS$850 juta (RM3.48 bilion) dan Sijil Amanah tempoh 10 tahun bernilai AS$650 juta (RM2.66 bilion)," jelasnya

 

MoF menambah, harga akhir sukuk berjaya diketatkan 30 mata asas (bps) daripada panduan harga awal kepada masing-masing 15 bps dan 25 bps di atas kadar bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

 

Penerbitan itu ujarnya, mengekalkan penanda aras hasil kedaulatan Malaysia di pasaran kewangan global serta menjadi rujukan harga penting kepada syarikat tempatan yang ingin pembiayaan asing.

 

Perbendaharaan_DagangNews2026

 

Sukuk itu distrukturkan berasaskan konsep 'Manafae' menggunakan hak perkhidmatan rangkaian rel awam bandar di Malaysia sebagai aset asas, selaras garis panduan pengauditan dan perakaunan dunia.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kejayaan penerbitan itu membuktikan dasar ekonomi di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang berjaya memperkukuhkan aspek kewangan awam.

 

"Sambutan luar biasa pelabur luar menunjukkan keyakinan mereka ke atas agenda reformasi kerajaan, strategi pengurusan hutang serta komitmen Malaysia memastikan pertumbuhan mampan," jelas beliau.

 

MoF turut memaklumkan kedudukan fiskal negara terus bertambah baik apabila defisit fiskal berjaya dikurangkan kepada kira-kira 3.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dicatat pada 2025.

 

Pada masa sama, ekonomi Malaysia berkembang 5.2% pada 2024 dan 2025, disokong permintaan domestik serta pelaburan swasta, dengan pelaburan diluluskan mencecah rekod RM431.1 bilion pada 2025.

 

Bagi 2026 pula ujarnya, momentum pertumbuhan kekal positif apabila ekonomi sekali gus berpotensi membolehkan prestasi ekonomi tahunan negara ini mengatasi unjuran asal kerajaan. - DagangNews.com