Pavilion REIT kekal pilihan penganalisis disokong portfolio pusat beli-belah premium | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pavilion REIT kekal pilihan penganalisis disokong portfolio pusat beli-belah premium

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) dijangka meneruskan momentum pertumbuhan pendapatannya disokong prestasi kukuh pusat beli-belah utama dalam portfolionya, semakan kadar sewaan yang positif serta peningkatan berterusan ketibaan pelancong ke Malaysia.

 

Penganalisis pasaran menyifatkan prestasi kewangan Pavilion REIT bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26) adalah selaras dengan jangkaan, sekali gus menyokong pandangan positif terhadap prospek kumpulan bagi tahun ini.

 

RHB Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Pavilion REIT dengan harga sasaran (TP) RM2.18 sesaham, yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 25% selain hasil dividen diunjurkan kira-kira 6% bagi FY26.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Pavilion REIT kekal menjadi pilihan berikutan portfolio pusat beli-belah premium yang dimilikinya, saluran pertumbuhan dalaman yang jelas serta menawarkan hasil dividen tertinggi dalam kalangan REIT runcit di bawah liputannya.

 

"Bagi separuh pertama FY26, pendapatan teras meningkat 10.9% tahun ke tahun kepada RM203 juta, bersamaan 47% daripada unjuran pendapatan setahun penuh kami.

 

"Agihan pendapatan seunit (DPU) bagi separuh pertama FY26 turut meningkat kepada 5.17 sen berbanding 4.97 sen pada tempoh sama tahun lalu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu berkata, perbelanjaan operasi hartanah susut 1.9% berikutan kos utiliti yang lebih rendah selepas pelaksanaan struktur tarif elektrik baharu mulai Julai 2025 serta penjimatan tambahan menerusi pembelian elektrik secara pukal di Pavilion KL.

 

"Keadaan itu membolehkan margin pendapatan operasi bersih (NPI) berkembang kepada 64.5% berbanding 61.7% setahun lalu," katanya.

 

Mengulas prospek, firma penyelidikan itu menjangkakan Pavilion Bukit Jalil akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada separuh kedua FY26 dengan menyumbang sekitar 26% hingga 28% daripada keseluruhan hasil kumpulan.

 

Kadar penghunian pusat beli-belah itu dijangka meningkat kepada kira-kira 95% menjelang akhir tahun berbanding sekitar 94% pada suku kedua FY26 dan 90% pada tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu MBSB Research turut mengekalkan saranan 'Beli' ke atas saham Pavilion REIT dengan harga sasaran RM2.00 sesaham berdasarkan model Dividend Discount Model (DDM).

 

Firma itu berkata, prestasi tahunan Pavilion REIT kekal memberangsangkan apabila pendapatan bersih teras suku kedua meningkat 13.2% kepada RM89 juta, manakala pendapatan terkumpul 1HFY26 melonjak 15.2% kepada RM194.8 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut firma itu, pertumbuhan tersebut disokong oleh prestasi lebih baik hampir semua aset dalam portfolio Pavilion REIT kecuali Intermark Mall.

 

"Pavilion Bukit Jalil mencatat pertumbuhan NPI sebanyak 9.9% pada 1HFY26 hasil pertumbuhan kadar sewaan yang lebih tinggi.

 

"Pada masa sama, kerugian Da Men Mall berjaya dikurangkan dengan ketara selepas pajakan induk bersama Easyhome International mula berkuat kuasa, selain sumbangan daripada Banyan Tree Kuala Lumpur dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur yang diperoleh pada Jun 2025 turut meningkatkan pendapatan kumpulan," katanya.

 

Menurut firma itu, pertumbuhan pendapatan Pavilion REIT dalam tempoh akan datang akan terus dipacu oleh semakan kadar sewaan yang sihat di Pavilion KL Mall dan Pavilion Bukit Jalil pada kadar pertumbuhan pertengahan satu digit.

 

"Ketibaan pelancong yang berterusan juga dijangka terus menyokong peningkatan jumlah pengunjung ke pusat beli-belah, manakala hasil agihan kasar sekitar 5.8% kekal menarik kepada pelabur," katanya. - DagangNews.com