Malaysia tegaskan komitmen sokong kestabilan pasaran minyak global tangani ketidaktentuan geopolitik – Akmal Nasrullah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tegaskan komitmen sokong kestabilan pasaran minyak global tangani ketidaktentuan geopolitik – Akmal Nasrullah

AKMAL NASRULLAH Mohd Nasir (petak bawah kanan) mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan Bukan OPEC Ke-41 (ONOMM) yang berlangsung secara hibrid dan dianjurkan Sekretariat OPEC di Vienna, Austria.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 Jun – Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus menyokong kestabilan pasaran minyak global ketika negara-negara pengeluar masih berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan turut menegaskan sokongan secara berterusan terhadap Piagam Kerjasama (CoC) Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+).


Usaha digariskan itu jelasnya, menyediakan kerangka lebih menyeluruh bagi kerjasama jangka panjang termasuk dalam bidang teknologi, pengurangan pelepasan karbon dan peralihan tenaga global.


"Sebagai negara pengeluar minyak dan pada masa sama pengimport bersih tenaga, Malaysia melihat kestabilan pasaran sebagai faktor penting menyokong keyakinan global," jelasnya dalam kenyataan.


Akmal Nassrullah menyuarakan pendirian itu ketika Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan Bukan OPEC Ke-41 (ONOMM) yang berlangsung secara hibrid dan dianjurkan Sekretariat OPEC di Vienna, Austria.


Delegasi Malaysia diketuai beliau secara maya bersama negara-negara pengeluar minyak utama terlibat bagi membincangkan isu berkaitan kestabilan pasaran minyak global dan keselamatan bekalan tenaga.

 

Akmal_DagangNews2026
AKMAL NASRULLAH Mohd Nasir (kanan) mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan Bukan OPEC Ke-41 (ONOMM) yang berlangsung secara hibrid dan dianjurkan Sekretariat OPEC di Vienna, Austria.




Sementara itu, Kementerian Ekonomi dalam kenyataan tersebut berkata, antara fokus utama ONOMM ialah penilaian Kapasiti Mampan Maksimum (MSC), yang dilihat sebagai mekanisme penting global ketika ini.


"Langkah ini dijangka meningkatkan ketelusan pasaran, memperkukuh penilaian asas pengeluaran serta menyokong perancangan bekalan lebih stabil pada masa hadapan, dan perancangan pelaburan," ujarnya.


Di samping itu jelas kementerian tersebut, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan kesemua negara anggota ONOMM bagi memperkukuhkan kerjasama dalam sektor tenaga, perdagangan dan pelaburan.


Pada masa sama, Malaysia kekal komited untuk mematuhi sasaran pengeluaran minyak yang ditetapkan bagi tahun ini, selain terus terlibat secara konstruktif dalam sebarang semakan asas pengeluaran.


Usaha berkenaan tambah Kementerian Ekonomi lagi, diyakini dapat memastikan pengeluaran yang kekal adil, realistik dan mencerminkan prospek pengeluaran negara-negara peserta selepas 2026 kelak.


Turut serta ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Nor Azmie Diron; Naib Presiden Kanan Strategi Korporat PETRONAS, Marina Md Taib serta pegawai kanan Kedutaan Malaysia di Austria. - DagangNews.com