Euan Smith letak jawatan, Astro lantik semula Henry Tan sebagai CEO interim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Euan Smith letak jawatan, Astro lantik semula Henry Tan sebagai CEO interim

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun – Astro Malaysia Holdings Bhd mengumumkan perubahan penting dalam barisan kepimpinannya apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO), Euan Smith meletakkan jawatan selepas menerajui syarikat itu selama kira-kira tiga tahun.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Astro berkata peralihan kepimpinan itu dibuat ketika syarikat sedang berada dalam fasa transformasi platform yang semakin maju dan membuka ruang kepada penstrukturan semula pengurusan tertinggi.

 

Sehubungan itu, bekas CEO Astro sebelum ini, Henry Tan Poh Hock dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan interim berkuat kuasa 16 Jun 2026 bagi memastikan kelangsungan operasi dan hala tuju syarikat.

 

Henry Tan sebelum ini pernah mengetuai Astro dari Februari 2019 hingga Januari 2023 dan dijangka memberikan kepimpinan menyeluruh kepada syarikat dengan sokongan pasukan eksekutif sedia ada.

 

t
Henry Tan (kiri) dan Euan Smith

 

Dalam tempoh peralihan ini, beliau akan bertanggungjawab terhadap prestasi keseluruhan kumpulan termasuk operasi harian serta pelaksanaan strategi perniagaan Astro.

 

Sementara itu, Euan Smith yang menyertai Astro pada April 2020 sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Televisyen, sebelum dinaikkan pangkat sebagai CEO Kumpulan pada Februari 2023, akan terus membantu syarikat dalam kapasiti penasihat teknikal sehingga 6 Disember 2026.

 

Astro menjelaskan perubahan kepimpinan itu dibuat sebagai langkah strategik bagi memastikan syarikat kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap media dan hiburan yang semakin mencabar serta berubah pantas.

 

Dalam masa sama, lembaga pengarah Astro merakamkan penghargaan kepada Euan Smith atas sumbangan dan kepimpinannya sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama syarikat tersebut. - DagangNews.com