KUALA LUMPUR 8 Jun – DXN Holdings Bhd melabur sebanyak RM140 juta bagi membangunkan kilang pembuatan nutraseutikal di Bukit Kayu Hitam, Kedah yang dijangka menjadi antara kompleks pengeluaran terbesar di Malaysia.
Kilang baharu itu dibina di atas kawasan seluas kira-kira 10.8 hektar (26.6 ekar) dengan keluasan binaan sekitar 300,000 kaki persegi, merangkumi tujuh blok pengeluaran, 10 gudang penyimpanan serta sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
DXN memaklumkan kilang ini akan menjadi antara fasiliti nutraseutikal terbesar di Malaysia yang memperkukuh keupayaan pengeluaran kumpulan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
“Pada fasa pertama, kilang ini akan menghasilkan 118 unit stok simpanan (SKU) melibatkan pelbagai produk kategori kopi, makanan & minuman serta jus.
“Pengeluaran dijangka bermula pada Mac 2028 dengan peluasan fasa seterusnya melibatkan segmen bernilai tinggi seperti kosmetik, penjagaan diri dan farmaseutikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis pecah tanah projek tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DXN, Datuk Lim Siow Jin.
DXN berkata pelaburan itu dibuat susulan pertumbuhan konsisten kumpulan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk peningkatan hasil dan keuntungan yang telah melebihi kapasiti pengeluaran sedia ada.
Ketika ini, DXN beroperasi di lebih 180 negara dengan kira-kira 22 juta pengguna berdaftar di seluruh dunia, menjadikannya antara pemain utama industri nutraseutikal global.
Syarikat itu turut menyasarkan pembangunan rangkaian 21 kilang pembuatan di empat benua menjelang 2028 sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan globalnya.
Kilang baharu di Bukit Kayu Hitam akan melengkapi rangkaian sedia ada DXN di Malaysia termasuk kompleks di Jitra serta Gua Musang di Kelantan yang sedang dibangunkan, sekali gus membentuk ekosistem pembuatan bersepadu di negara ini.
Menurut DXN, pendekatan bersepadu ini akan meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh rantaian bekalan serta memastikan kelancaran penghantaran produk ke pasaran global.
DXN turut menekankan bahawa industri kesihatan dan nutraseutikal global sedang berkembang pesat, dengan jurang perbelanjaan kesihatan antara Asia dan Barat masih besar, sekali gus membuka potensi pertumbuhan jangka panjang yang luas.
Syarikat itu berkata pelaburan ini akan dibiayai melalui kemudahan pembiayaan luar, disokong kedudukan kewangan kukuh termasuk nisbah hutang kepada ekuiti ekitar 0.15 kali serta kedudukan hutang bersih sifar.
Sementara itu, Muhammad Sanusi menyifatkan pelaburan tersebut sebagai bukti keyakinan berterusan pelabur terhadap negeri itu sebagai destinasi industri utama di wilayah utara.
Beliau berkata projek itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan serta merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Kedah. - DagangNews.com








