KUALA LUMPUR 23 Jan - MIDF Research yakin buku pesanan Sunway Construction Group Bhd bertambah antara RM4 bilion hingga RM5 billion pada tahun ini didorong pelbagai kontrak pekerjaan termasuk projek hartanah.
Katanya, walaupun tumpuan semasanya pada projek pusat data namun mereka tidak akan mengabaikan projek-projek lain termasuk infrastruktur dan projek hartanah kekal terlibat secara aktif dalam tender infrastruktur.
Firma penyeidikan itu berkata, walaupun kumpulan itu kurang mengambil projek berkaitan pembangunan hartanah ketika ini dan memberi tumpuan kepada pembangunan pusat data tetapi mereka memiliki fleksibiliti untuk melaksanakan lebih banyak pekerjaan dalam Sunway Group.
"Pengurusan juga telah menyatakan minatnya untuk membida pakej kedua LRT Pulau Pinang, kemungkinan melalui syarikat kerjasama (JV), yang akan menjadi jajaran atas laut dari Komtar ke Penang Sentral. Tender untuk pakej itu dijangka dibuka pada Julai 2025," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research berkata, buku pesanan semasa kumpulan itu mencerminkan tumpuan yang kuat pada projek pusat data, dengan kira-kira 70% daripada penambahan buku pesanan 2024 berkaitan dengan segmen itu.
Katanya, pusat data JHB1X0 yang sedang dibinanya di Taman Teknologi Sedenak sudah 30% siap pada Disember 2024, dengan penyiapan yang besar disasarkan untuk FY25 dan limpahan kecil ke FY26.
"Jumlah saiz kontrak untuk projek itu ialah RM3.65 bilion, termasuk kerja tambahan dan pesanan variasi (VO).
"Tidak ada kelembapan dalam permintaan untuk projek pusat data di Lembah Klang dan Johor dan tiada tanda-tanda rancangan sedemikian ditangguhkan atau dibatalkan disebabkan oleh Rangka Kerja Penyebaran AI oleh Amerika Syarikat (AS).
"Buku tender kumpulan bernilai RM10 bilion pada masa ini, terdiri daripada pelbagai projek seperti pusat data, kerja bangunan luar, gudang, kilang dan kerja pratuang," katanya.
Firma penyelidikan itu menaikkan penarafan kepada "beli" dengan harga sasaran (TP) RM4.46 sesaham. - DagangNews.com








