BNM turunkan OPR kepada 2.75 peratus, perubahan kali pertama sejak 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM turunkan OPR kepada 2.75 peratus, perubahan kali pertama sejak 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Julai - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, perubahan kali pertama sejak 2023.

 

BNM menetapkan kadar siling dan lantai bagi OPR masing-masing dikurangkan kepada 3% dan 2.5%.

 

Katanya, penurunan OPR itu merupakan langkah awal yang bertujuan mengekalkan trajektori pertumbuhan Malaysia yang stabil di tengah-tengah unjuran inflasi yang sederhana.

 

Katanya, petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global yang terus berkembang, disokong perbelanjaan pengguna yang berterusan dan aktiviti mendahului permintaan.

 

"Unjuran pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal.

 

"Namun begitu, unjuran ini dibayangi oleh ketidaktentuan yang berkaitan dengan perkembangan tarif serta ketegangan geopolitik. Ketidaktentuan ini juga boleh membawa kepada peningkatan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Bank pusat itu berkata, bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang berterusan pada suku kedua, disokong permintaan domestik yang mampan dan pertumbuhan eksport.

 

Melangkah ke hadapan, pertumbuhan dijangka terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh. Pertumbuhan pekerjaan dan upah, terutamanya dalam sektor yang berorientasikan domestik, serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

 

BNM berkata, hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan, dasar pro-pertumbuhan di ekonomi utama, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik, serta aktiviti pelancongan yang kukuh boleh meningkatkan prospek eksport Malaysia.

 

Namun begitu, keseimbangan risiko terhadap unjuran pertumbuhan kekal cenderung ke arah penurunan, terutamanya disebabkan oleh perdagangan global yang perlahan, sentimen yang lemah, serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Katanya, purata inflasi keseluruhan dan teras masing-masing mencatat 1.4% dan 1.9% dalam lima bulan pertama tahun ini.

 

"Secara keseluruhan, inflasi pada 2025 dijangka kekal sederhana, di tengah-tengah keadaan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan domestik yang berlebihan. Tekanan inflasi daripada harga komoditi global juga dijangka kekal terhad, sekali gus menyumbang kepada keadaan kos domestik yang sederhana," katanya.

 

MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan semasa dan menilai keseimbangan risiko yang mengelilingi unjuran pertumbuhan dan inflasi dalam negara.- DagangNews.com