Binastra mula sertai sektor tenaga hijau, margin bersih kontrak pertama di Johor diunjur 8% - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra mula sertai sektor tenaga hijau, margin bersih kontrak pertama di Johor diunjur 8% - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 OktBinastra Corporation Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pembinaan tempatan dengan menyertai sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia susulan kejayaan menerusi anak syarikat miliknya, Binastra Green Energy Sdn Bhd (BGE) meraih kontrak yang bernilai RM305 juta daripada Bahru Stainless Sdn Bhd.


Tambahnya, kontrak selama sembilan bulan itu melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi pembangunan loji yang berkapasiti 200 MWh di Pasir Gudang.


"Ini merupakan projek RE pertama Binastra dengan unjuran margin bersih sekitar 7% hingga 8%, dan menandakan permulaan yang kukuh dalam segmen hijau," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya. 


Jelas firma berkenaan lagi, nilai pasaran perkhidmatan EPCC bagi PV solar di Malaysia dianggarkan berjumlah RM700 juta pada 2024, dan dijangka mampu meningkat kepada RM1.3 bilion menjelang 2027.


Katanya, setakat tahun kewangan terkini, syarikat pembinaan tersebut sudah memperoleh RM1.9 bilion nilai kontrak baharu, hampir separuh daripada sasaran sebanyak RM4 bilion yang ditetapkan bagi FY26.

 

Artikel berkaitan: Binastra peroleh kontrak RM305 juta bagi projek solar dan simpanan tenaga bateri di Pasir Gudang

 

Jumlah buku tempahan terkumpul pula tambah RHB Research, kini diunjur sekitar RM4.8 bilion dan ia menjangkakan baki RM2.1 bilion kontrak lagi bakal datang daripada pelbagai projek di Johor Bahru.


"Antaranya kerja utama pembangunan Causewayz Square oleh EXSIM Development yang dianggarkan RM1.4 bilion, tertakluk kejayaan pelaksanaan kerja cerucuk bernilai RM132 juta sedang berjalan," katanya.


Selain itu, pembangunan di Taman Pelangi oleh MAXIM Global, dengan anggaran nilai kerja RM800 juta dan keseluruhan potensi kerja baharu dari Johor diunjur mencecah RM2.1 bilion menjelang akhir FY26.


RHB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Binastra dengan harga sasaran (TP) sesaham naik kepada RM2.69 daripada RM2.64, mencerminkan potensi kenaikan 16% dan hasil dividen FY27 sekitar 3%.


Peningkatan ini katanya, turut didorong oleh lonjakan skor skor alam sekitar, berikutan penyertaan syarikat dalam projek RE, manakala TP baharu itu berasaskan unjuran perolehan sesaham pada FY27.


"Bagaimanapun, ia perlu berwaspada pelbagai risiko utama antaranya kelembapan aliran kerja baharu jika projek-projek yang dirancang tidak dianugerahkan mengikut jangkaan," katanya. - DagangNews.com